KUANTAN, 10 Jan – Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah mengadakan Bengkel Strategic Action Plan (SAP) 2025 selama tiga hari di De Rhu Beach Resort, di sini. Bengkel yang berakhir hari ini melibatkan 35 peserta terdiri daripada ahli pengurusan fakulti dan pakar-pakar.
Matlamat utama bengkel ini adalah untuk merangka pelan tindakan strategik bagi mencapai Petunjuk Prestasi (PI) fakulti untuk tahun 2025. Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan untuk membincangkan dan membangunkan pelan tindakan yang komprehensif selaras dengan pelan strategik UiTM.
Dekan FSPPP, Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith, menekankan kepentingan bengkel ini sebagai platform untuk mengenal pasti keutamaan fakulti dan merancang langkah strategik sejajar dengan visi dan misi UiTM. Beliau menggesa kerjasama semua pihak untuk mencapai kecemerlangan fakulti.
Hasil bengkel ini termasuk Pelan Tindakan Perancangan Strategik 2025, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan PI selaras dengan pelan UiTM, serta Dean’s Special Project 2025.
Prof. Madya Dr. Nor Hafizah yakin pelan tindakan yang dirangka akan menjadi panduan penting untuk mencapai aspirasi kecemerlangan fakulti dan menyumbang kepada kejayaan UiTM secara keseluruhannya.