PAHANG, 18 Januari 2025– Program Jelajah Jenut anjuran Persatuan Pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi (OBEY), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang di Kampus Jengka, telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN), Kuala Krau. Program ini bertujuan menyokong matlamat Kesihatan dan Kesejahteraan Yang Baik (SDG 3), Pendidikan Berkualiti (SDG 4), dan Kehidupan di atas Darat (SDG 14).
Seramai 38 peserta, termasuk 3 pegawai pengiring dan 35 pelajar, terlibat dalam program ini yang berlangsung dengan sokongan daripada empat anggota PERHILITAN: En. Mohammad Zaid Bin Abdullah, En. Mohd Fairus Izwan Bin Naam, En. Muhammad Zulhilmi Bin Kamarul Baharom, dan En. Ahmad Fadhil Bin Muhd Azmi.
Jelajah ini melibatkan perjalanan sepanjang 2 kilometer di dalam hutan, di mana peserta dapat mempelajari tentang biodiversiti kawasan tersebut, termasuk fauna dan flora, serta mendapati pacat sebagai petunjuk kepelbagaian biodiversiti. Peserta juga diminta membawa 1 kg garam bukit, yang diletakkan di dua jenut buatan, iaitu Jenut Kamis dan Jenut Dusun.
Sepanjang program, peserta diajar melakukan cerapan jejak hidupan liar, mengenali jejak tapak, najis, dan kesan geselen pada batang pokok. Jejak hidupan liar yang ditemui termasuk jejak tapir dan jejak rusa.
Maklum balas daripada peserta menunjukkan mereka berpuas hati dan teruja dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh, serta berharap dapat menyertai program konservasi lebih lanjut di masa hadapan.
Pengarah program, Ahmad Nazlee Bin Mohd Nazri, menerima pujian tinggi atas penganjuran yang berjaya ini. Penghargaan juga diberikan kepada En. Muhammad Ku Syahir Bin Kusairi, Pegawai Hidupan Liar, serta Pusat Pengajian Sains dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pahang yang memberikan sokongan bagi memastikan kelancaran program. Program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Penulis: Siti Suhaila Binti Harith (Utama), Syarifah Faezah Binti Syed Mohamad, Muhammad Afif Bin Yusof, Liliwirianis Binti Nawi, Nur Thabitah Binti Shaikh Nasir