Program STEM FUTURE: Menyemai Inspirasi, Menggapai Aspirasi

 

JENGKA, 17 Januari 2025: Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah menganjurkan “Program STEM FUTURE: Menyemai Inspirasi, Menggapai Aspirasi” di Dewan Indera Segara, UiTM Cawangan Pahang yang diketuai oleh Dr. Ainur Awanis binti Mohd Badiazaman. Program ini telah  dirasmikan oleh Dr. Shaari bin Daud, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan.

Seramai 47 orang murid tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2 telah menyertai program tersebut bagi memperkenalkan serta menanamkan minat mendalam terhadap bidang STEM. Program ini direka untuk merapatkan jurang antara pelajar universiti dan pelajar sekolah melalui aktiviti interaktif dan ilmiah. Salah satu aktiviti utama adalah perkongsian santai mengenai “Microplastics” oleh Siti Suhaila binti Harith, pensyarah Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Pahang. Selain itu, terdapat sesi pembentangan poster mini projek Diploma Sains, FSG311 oleh pelajar Diploma Sains AS120 bahagian 5 yang mempamerkan hasil inovasi projek mereka.

Melalui program ini juga, pelajar universiti dapat berkongsi ilmu dan pengalaman mereka, manakala pelajar sekolah didedahkan kepada aplikasi sebenar konsep STEM dalam kehidupan harian. Program ini bertujuan untuk menyemai rasa ingin tahu, inovasi, dan kreativiti dalam kalangan pelajar sekolah. Ia juga menyediakan peluang kepada pelajar universiti untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman sambil meningkatkan kemahiran komunikasi dalam pembentangan mereka.

Puan Hajah Norazizah binti Abdullah, GPK Pentadbiran SMK Jengka Pusat 2 memuji inisiatif program ini sebagai langkah yang berkesan dalam memperkenalkan murid kepada bidang STEM melalui hasil inovasi projek pelajar Diploma Sains. Sebahagian besar pelajar sekolah memberikan maklum balas positif terhadap pengisian program serta aktiviti yang bermanfaat dan menarik.

Program ini diharap dapat menanam inspirasi yang berterusan dalam diri pelajar sekolah serta membantu mereka memahami bahawa STEM bukan sekadar bidang akademik, tetapi juga laluan untuk mencipta masa depan yang lebih baik. “STEM FUTURE: Menyemai Inspirasi, Menggapai Aspirasi” berhasrat untuk menjadi titik mula dalam melahirkan generasi pelajar yang berinovasi, bersemangat, dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia moden yang semakin berkembang.

Penulis bersama: Dr. Ainur Awanis Mohd Badiazaman, Sarah Laila Mohd Jan, Nur Thabitah Shaikh Nasir, Dr. Nazhirah Muhammad Nasri, Dr. Fairuzdzah Ahmad Lothfy