SABAK BERNAM, 28 November 2024 – Dalam usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan masyarakat, lima orang pensyarah serta 20 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (Kepujian) Perbankan Islam, Kampus Puncak Alam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan program kemasyarakatan di Balai MPKK, Kampung Parit 16, Binjai Jaya, Sabak Bernam. Program bertajuk “Financial Literacy for Sustainable Future” itu telah mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.
Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan perancangan kewangan yang bijak, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini. Selain itu, program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengasah kemahiran interpersonal mereka melalui interaksi dan kerjasama dengan masyarakat setempat.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk taklimat Literasi Kewangan Islam yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Abd Hadi, pensyarah Pengajian Perbankan Islam, serta taklimat Pengurusan Organisasi yang disampaikan oleh Dr. Murni Zarina Mohamed Razali, pensyarah Pengajian Pengurusan. Selepas sesi taklimat, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh para pelajar. Dalam sesi ini, usahawan-usahawan desa berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan yang baru dipelajari dalam perbincangan berkumpulan.
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada pihak universiti, yang melihatnya sebagai platform untuk pelajar mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan kerja berpasukan.
Penulis (1) Nor Akila Mohd Kassim, (2) Dr Murni Zarina Mohamed Razali (3) Dr Nor Azzah Said (4) Dr Nor Farehan Omar (5) Muhammad Abd Hadi Abd Rahman