Festival Komunikasi (FESKOM) 2024 Anjuran FKPM UiTM Cawangan Melaka Meriah

ALOR GAJAH, 14 Januari 2025 – Festival Komunikasi (FESKOM) 2024 telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini di bawah anjuran Kelab Komunikasi dan Media (KOMED), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.

Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Hj. Ridzuan selaku Ketua Pusat Pengajian (KPP), FKPM UiTM Cawangan Melaka hadir merasmikan program ini di samping kehadiran Puan Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani selaku Koordinator Program, penyelaras program serta para pensyarah FKPM.

Program yang berlangsung selama dua hari ini iaitu dari 11 hingga 12 Disember 2024 diisi dengan pelbagai program menarik seperti Kpop Screening, tayangan filem, perasmian oleh KPP FKPM, Pertandingan Lendu Vaganza (Talent Show), Pertandingan Fright Walk (Fashion Show), persembahan khas oleh pensyarah serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Memetik kenyataan Ketua Pusat Pengajian (KPP) FKPM, beliau melihat bahawa penganjuran program ini yang telah menjadi acara tahunan fakulti dan digerakkan oleh pelajar di bawah pemantauan Penasihat menjadi satu simbolik bahawa program ini memiliki impak yang tinggi di peringkat Fakulti dan Universiti.

Melalui program besar ini, banyak bakat-bakat baharu dalam kalangan pelajar dapat digilap termasuklah dari segi kepimpinan, kebudayaan, pengurusan acara dan lain-lain lagi. Perkara ini sekaligus akan memberikan satu merit yang besar dan signifikan kepada pelajar ke arah mempersiapkan diri mereka untuk ke peringkat industri pada masa akan datang melalui cabaran baharu dalam dunia baharu.

Program ini diharapkan akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang melalui lebih banyak inisiatif serta kepelbagaian pengisian sekaligus berupaya diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Penulis bersama: Ts. Amir Nor Azan Samar, Muhammad Firdaus Amairudin, Dr. Mohamad Hafifi Jamri