SERI ISKANDAR, 9 Januari – Seramai lebih 250 orang pelajar semester akhir Program Diploma Senireka Grafik dan Media Digital dari lima buah kampus UiTM seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam Program Review Kesetaraan yang dijalankan secara atas talian hari ini.
Program yang dianjurkan oleh UiTM Kelantan, Kampus Machang ini melibatkan kampus-kampus UiTM Perak Kampus Seri Iskandar, UiTM Melaka Cawangan Alor Gajah, UiTM Sarawak, dan UiTM Kedah Kampus Merbok.
Pembentangan yang berlangsung sehari ini merangkumi tiga subjek utama semester akhir iaitu GDT314 Graphic Design Project, GDT315 Print Design Project dan GDT316 Screen Based Design.
Lima orang pelajar UiTM Perak yang mewakili program tersebut adalah Faizatulhusna Binti Amiruddin, Danial ‘Ammar Bin Faizal Riza, Muhammad Aqlan Zhafrie Bin Nor Zli, Wan Fakhira Irdina Binti Wan Azizan dan Nurul Amiera Binti Mohamad Ezuardi.
Menurut maklumat yang diperolehi, pembentangan berlangsung dalam dua sesi iaitu sesi pertama dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan sesi kedua dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.
Penganjur menyatakan program ini bertujuan menilai kesetaraan karya akhir pelajar dan membolehkan pertukaran pandangan antara mahasiswa dari pelbagai kampus.
Pensyarah-pensyarah yang terlibat turut menjalankan sesi soal jawab bagi menilai dan memberi input penambahbaikan kepada projek pelajar.
Didapati, karya-karya yang dihasilkan telah memenuhi tahap silibus dan Pencapaian Hasil Pembelajaran (PLO) yang ditetapkan, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan menjelang Pameran Akhir Diploma pada 19-21 Februari ini.