Accelerate Your Research With EndNote 2.0 2024

PUNCAK ALAM, 6 Januari 2025 – Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan Program Accelerate Your Research With EndNote 2.0 2024. Program ini telah dijalankan secara bersemuka pada 24 Oktober 2024  di Dewan Kuliah 1, FSK 7 UiTM Kampus Puncak Alam yang bermula pada pukul 2.15 petang sehingga 5.45 petang . Program ini telah melibatkan para mahasiswa dan mahasiswi daripada semua jurusan Fakulti Sains Kesihatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Objektif Program Accelerate Your Research With EndNote 2.0 2024 ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan demonstrasi penggunaan perisian EndNote kepada pelajar untuk digunakan dalam penulisan. Selain itu, program ini juga merupakan satu inisiatif sebagai penggalak kepada pelajar agar mengoptimalkan penggunaan perisian yang disediakan kerana kos perisian ini ditanggung oleh pihak UiTM. Kumpulan pelaksana program  berharap usaha ini dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam mengendalikan konsep Citation dan References dalam penulisan penyelidikan dan akademik. Seterusnya, program ini juga diharapkan dapat meningkatkan nilai profesionalisme pelajar dalam penulisan dengan meminimumkan kesalahan penulisan penyelidikan dan akademik.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran pada jam 2.15 petang di Dewan Kuliah 1, FSK 7 UiTM Kampus Puncak Alam. Pada jam 2.30 petang, program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti Wawasan Setia Warga UiTM serta bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan pengarah program serta ucapan perasmian oleh Encik Naim Faiz Bin Ahmad Imran yang merupakan penasihat 1 Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) sesi 2023/2024. Program ini diteruskan dengan ceramah perkongsian EndNote oleh penceramah jemputan iaitu Puan Nur Fatihah Binti Muhamad yang merupakan Pustakawan Perpustakaan Tun Abdul Razak di UiTM Puncak Alam. Beliau telah memberikan penerangan serta perkongsian yang sangat baik berkenaan cara penggunaan aplikasi EndNote. Setelah selesai sesi perkongsian, sesi soal jawab diteruskan bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh peserta. Akhir sekali, majlis ditutup tepat jam 5.45 petang dengan pengisian pemberian cenderahati kepada penceramah jemputan, sesi fotografi, nyanyian lagu UiTM Dihatiku dan bacaan Doa Rabithah.

Secara keseluruhan, program ini dapat memberikan manfaat kepada semua peserta dan menjadi titik permulaan untuk melahirkan pelajar yang mahir dalam format penulisan penyelidikan dan akademik. Program ini juga diharapkan mampu memberi manfaat kepada semua pihak khususnya mahasiswa dalam mencipta kecemerlangan bukan sahaja di alam universiti malah berguna pada masa akan datang.  Semoga para peserta mendapat pelbagai input yang berguna melalui pengisian dalam program ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Sekian, terima kasih