TANJUNG KARANG, 5 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melalui Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti, Pengajian Sains Geomatik dan Sumber Alam, Kolej Pengajian Alam Bina telah menganjurkan Program Pemuliharaan Bakau Berasaskan Komuniti dan Kelangsungan Lestari. Program ini dilaksanakan dengan sokongan kolaboratif Pusat Hidrografi Nasional dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Bertempat di Pantai Bagan Pasir, Tanjong Karang, Selangor, program ini telah disertai oleh 17 peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM, serta 14 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pusat Hidrografi Nasional. Turut serta dalam program ini ialah empat pensyarah yang diketuai oleh Dr. Nurul Asyikin binti Ibrahim, Mejar (Ust) Mohamad Aswad bin Abdul Rahman mewakili Pusat Hidrografi Nasional, dan Encik Abd Halim bin Md Yasin, Penolong Pegawai Hutan Daerah Kuala Selangor/Sabak Bernam mewakili Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Aktiviti menanam pokok bakau yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang ini berjaya menyaksikan sebanyak 100 anak pokok bakau ditanam di kawasan tersebut.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan ekosistem bakau, yang merupakan salah satu sumber alam semula jadi penting dalam melindungi pantai daripada hakisan, menyokong biodiversiti, dan memastikan kelestarian alam sekitar. Selain itu, ia juga menjadi platform untuk UiTM berkongsi ilmu, menggalakkan kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan, serta memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.
UiTM percaya bahawa usaha ini bukan sekadar aktiviti penanaman pokok tetapi juga sebagai langkah simbolik untuk mendidik generasi muda tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar dan pentingnya kerjasama antara pelbagai pihak dalam memastikan kelestarian alam.
Program ini mencerminkan dedikasi UiTM untuk terus menjadi peneraju dalam memupuk kesedaran alam sekitar dan melaksanakan inisiatif lestari yang membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan ekosistem.