BEVA Environmental Innovation Exhibition (BEIEx) 2024 Memupuk Budaya Inovasi Kearah Kemampanan Ekosistem

SEREMBAN, 2 Disember 2024 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) bersama-sama pelajar semester 3 program AM226 Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah berjaya menganjurkan BEVA Environmental Innovation Exhibition (BEIEx) bersempena program SDG Fiesta 2024. Pameran yang bertempat di Pusat Kegiatan Pelajar (PKP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban ini telah disertai oleh 10 kumpulan (48 orang pelajar) yang telah mempamerkan produk inovasi serta prototaip mereka yang bertemakan kemampanan ekosistem alam sekitar. Pameran produk inovasi ini juga merupakan salah satu penilaian berterusan pelajar AM226 semester 3 yang mengambil kod kursus EVA410 (Principles of Ecology). Tujuan utama pameran ini adalah untuk  mempamerkan idea inovasi pelajar  untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ekosistem dikawasan yang telah dipilih oleh mereka.

BEVA Environmental Innovation Exhibition (BEIEx) 2024 telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung yang tertarik dengan idea inovasi para peserta. Hal ini kerana prototaip yang dipersembahkan telah dihasilkan dengan menggunakan barangan terbuang dan terpakai bagi menyokong SDG12 (Responsible Consumption & Production). Tambahan lagi, nama produk mereka juga cukup menarik serta mempunyai nilai-nilai pengkomersilan. Penjurian bagi BEIEx 2024 telah dilakikan oleh pihak luar yang turut hadir iaitu daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITAN) Cawangan Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, EcoKnights serta MaryKay Malaysia bagi menguji kebolehan para peserta untuk melontarkan idea inovasi mereka dihadapan wakil industri.

Melalui pameran ini, para pelajar telah berjaya meneroka nilai kreativiti serta berfikir di luar kotak bagi menampilkan pelbagai idea inovasi baharu yang mampu menjadi solusi kepada permasalahan yang melanda dalam sesebuah ekosistem, seperti pencemaran air, udara, tanah, cahaya serta bunyi. Secara tidak langsung cabaran inovasi ini akan membolehkan mereka mengaplikasikan pemahaman secara teori dan mempraktikkan penyelesaian masalah alam sekitar dalam keadaan yang sebenar. Para juri juga berpendapat idea-idea mereka akan dapat diketengahkan keperingkat yang lebih tinggi. Terdapat potensi untuk produk-produk tersebut diperbaiki dan diberi peluang untuk menyertai pertandingan inovasi diperingkat yang lebih tinggi. Pertandingan ini telah dimenangi oleh kumpulan yang diketuai oleh Saudari Nur Sofea Izreen Binti Maszli yang telah membawa idea EcoFloat Linggi dimana mereka telah mencadangkan taman terapung yang boleh membawa keseimbangan ekosistem di Sungai Linggi. Kumpulan ini telah dianggotai oleh Saudari Shazana Fatihah Binti Saharudin, Saudara Azim Ikhwan Bin Muhaiyitdin, Saudara Muhammad Khairul Amin Bin Jazmi Shaharudin dan Saudara Ikmal Zarith Bin Kamaruzaman. Tempat kedua pula telah dimenangi oleh kumpulan yang mempertaruhkan produk bernama TimerBlast, manakala Sproutbot memenangi tempat ketiga.

Secara keseluruhannya, BEIEx telah memenuhi Sustainable Development Goals (SDG) yang berikut – SDG 4 (Quality Education), SDG 9 (Industry, Innovation and Infrastructure), SDG 11 (Sustainable Cities and Communities), SDG 13 (Climate Action), SDG 14 (Life Below Water), SDG 15 (Life on Land) dan SDG17 (Partnership for the Goals). Program ini juga secara tidak langsung telah membantu pihak FSPPP untuk mencapai PI037 iaitu jumlah pelajar yang terlibat dengan aktiviti berkaitan inovasi. Secara konklusinya, pameran ini telah berjaya memberikan kesedaran kepada para pelajar UiTM Kampus Seremban tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta keperluan untuk memikirkan solusi kepada setiap permasalahan yang timbul yang telah diakibatkan oleh perbuatan rakus manusia.

Nama Penulis: Nur Alisa Izzati Zawawi, Mohd Idham Mohd Yusof, Nurliyana Mohd Shazali, Dr. Nurul Hidayana Mohd Noor