Program AGM dan Makan Malam 2023/2024 Anjuran PHYTAS UiTM Puncak Alam

PUNCAK ALAM, 30 Disember 2024 – Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan Program Annual General Meeting (AGM) x Dinner PHYTAS 2023/2024 pada 30 November 2024. Program ini, yang diadakan secara bersemuka di Dewan Pavillion, Fakulti Farmasi, UiTM Kampus Puncak Alam, berjaya menarik penyertaan seramai 102 peserta, termasuk mahasiswa dan mahasiswi dari jurusan Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, serta staf klinik fisioterapi dan pensyarah.

Program yang dimulakan pada pukul 5 petang dan berakhir pada pukul 10 malam ini diketuai oleh Nurul Aleya Qharina Binti Amran sebagai Pengarah Program. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk para penaja seperti Ms. Cho Foong Yi dari Kaizen Physiotherapy, Puan Surina Binti Othman dari Eynna Lynn Enterprise, dan En. Ar-Nawar Bin Ismail dari Conretez Design Technologies Sdn. Bhd.

Program AGM ini bertujuan untuk melantik kepimpinan dan ahli jawatankuasa baharu bagi sesi 2024/2025, serta menyusun dan memperkemas struktur organisasi persatuan. Selain itu, program ini juga menyediakan platform bagi mahasiswa untuk terlibat dalam pengurusan organisasi, membina nilai kepimpinan, dan memberi penghargaan kepada ahli jawatankuasa PHYTAS sesi 2023/2024 atas sumbangan mereka.

“Harapan kami agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan menjadi titik permulaan untuk melahirkan pelajar yang lebih berkebolehan dan berwawasan,” kata Nurul Aleya. Beliau juga berharap program ini dapat membantu mahasiswa mencipta kecemerlangan di alam universiti dan berguna pada masa akan datang.

Dengan pelbagai input berguna yang diperoleh melalui program ini, PHYTAS berharap dapat terus menyokong pembangunan pelajar fisioterapi di UiTM Kampus Puncak Alam.