“Bertindak Bijak, Bebas Plastik!”: Program Hijau UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam Raih Sambutan Luar Biasa

Bertam, 13 Disember 2024 — Program Kempen Bebas Plastik anjuran Jabatan Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam mencatatkan kejayaan cemerlang dengan penyertaan pelajar yang luar biasa sepanjang tempoh program dari 9 hingga 13 Disember 2024. Inisiatif ini berjaya mencapai objektif utama dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesan negatif penggunaan plastik sekali guna dan memupuk amalan mesra alam dalam kalangan warga kampus.

Melalui pendekatan interaktif menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok, peserta diminta untuk memuat naik gambar atau video mempamerkan amalan bebas plastik seperti menggunakan beg kain/woven bag, botol air guna semula, dan bekas makanan mesra alam. Sambutan yang memberangsangkan membuktikan keberkesanan pendekatan kreatif ini yang bukan sahaja mendidik, malah menyeronokkan.

Pengarah Program, Pn. Nurhidayah Sabri, berkata, “Kami berasa amat terinspirasi melihat kesungguhan pelajar dalam menyahut cabaran ini. Mereka bukan sahaja kreatif, malah komited untuk mempromosikan gaya hidup mesra alam.”

Penasihat Program iaitu Ketua Pusat Pengajian FSK, Ts. Dr. Muhammad Nabil Fikri Roslan, turut memuji pelajar yang menyertai program ini dengan penuh semangat. “Penglibatan aktif pelajar menunjukkan bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah. Aktiviti luar seperti ini dapat mengubah sikap dan amalan mereka secara berterusan,” katanya.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam, Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd Noor, yang menekankan bahawa usaha ini sejajar dengan agenda hijau kampus seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik 2024. “Program ini memperkasakan pelajar untuk menjadi agen perubahan dalam komuniti mereka, bukan sekadar memenuhi KPI universiti,” tambahnya.

Hari terakhir program menyaksikan pelajar yang berjaya menyelesaikan cabaran selama empat hari menuntut e-merit yang ditawarkan. Manakala bagi staf yang menyertai, mereka memperoleh sijil penyertaan. Kejayaan program ini diharap menjadi inspirasi untuk lebih banyak inisiatif hijau di masa hadapan, memperkukuhkan usaha UiTM dalam membentuk generasi yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Penulis : Nurhidayah Sabri, Khairi Aiman Abu Bakar, Norzarifah Md Azmi, Ainul Shuhada Mohd Mokhtar, Nadin Nadhirah Mohd Shukri, Mohamad Azhar Mohd Noor, Tengku Nilam Baizura Tengku Ibrahim,  Nadiatul Syima Mohd Shahid, Siti Nurshahida Nazli, Abdul Karim Ismail