“Selamatkan Bumi, Satu Helai pada Satu Masa!”: UiTM Bertam Perkukuh Kelestarian Melalui Program Kampus Hijau

Bertam, 13 Disember 2024 — Program Kitar Semula Kertas anjuran Jabatan Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam berjaya mencapai objektif utamanya dengan penglibatan aktif pelajar dan staf yang menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar. Program ini bertujuan mengurangkan pembaziran kertas dengan mengumpul kertas terpakai daripada kawasan pejabat, bilik kuliah, perpustakaan dan makmal untuk dikitar semula dalam tempoh satu minggu bekerja daripada 9 hingga 13 Disember 2024.

Aktiviti utama termasuk pengumpulan dan penimbangan sisa kertas, seterusnya serahan kepada pusat pengumpulan barang kitar semula berjalan dengan lancar hasil kerjasama semua pihak. Program pengumpulan yang berlangsung di Kafeteria Kolej Az-Zahrawi menyaksikan jumlah keseluruhan kertas yang berjaya dikumpulkan ialah 78 kg, membuktikan komitmen tinggi dalam kalangan warga kampus terhadap usaha menjaga alam sekitar.

Kejayaan ini menandakan pencapaian penting dalam mengurangkan sisa kertas dan menyokong agenda kampus hijau universiti.

Pengarah Program, Pn. Nurhidayah Sabri, berkata, “Program ini bukan sekadar usaha kitar semula, tetapi juga langkah pendidikan yang berterusan. Pelajar menunjukkan semangat tinggi dalam menjayakan aktiviti ini dan membuktikan bahawa perubahan kecil mampu memberi impak besar.”

Penasihat Program iaitu Ketua Pusat Pengajian FSK, Ts. Dr. Muhammad Nabil Fikri Roslan, turut memuji pelaksanaan program ini yang sejajar dengan usaha mencapai KPI dalam Pelan Strategik 2024. “Kesedaran pelajar terhadap kepentingan kitar semula meningkat dengan ketara. Ini adalah contoh nyata bagaimana universiti dapat membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap alam sekitar.”

Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam, Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd Noor, dalam ucapan penghargaan beliau, menyatakan bahawa program ini mencerminkan komitmen universiti terhadap agenda kelestarian. “Melalui program seperti ini, kita dapat mendidik warga kampus untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan sumber. Ini selari dengan visi universiti untuk menjadi institusi yang mendukung kelestarian.”

Kejayaan Program Kitar Semula Kertas ini membuka ruang kepada pelaksanaan program hijau lain di masa hadapan. Usaha ini dapat mengurangkan impak sisa pepejal kepada alam sekitar, sekali gus memperkukuhkan budaya hijau di kalangan pelajar dan staf UiTM Bertam.

Penulis : Nurhidayah Sabri, Khairi Aiman Abu Bakar, Norzarifah Md Azmi, Ainul Shuhada Mohd Mokhtar, Nadin Nadhirah Mohd Shukri, Mohamad Azhar Mohd Noor, Tengku Nilam Baizura Tengku Ibrahim,  Nadiatul Syima Mohd Shahid, Siti Nurshahida Nazli, Abdul Karim Ismail