Pohang, Korea Selatan, November 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mencipta nama pada peringkat global melalui program “Standing in the Eyes of the World” yang berlangsung di Pohang University of Science and Technology (POSTECH), Korea Selatan. Program ini dianjurkan dari 24 November hingga 1 Disember 2024, sebagai sebahagian daripada inisiatif – Vice Chancellor Special Project (VCSP): Administrative Staff International Job Shadowing, bertujuan meningkatkan kemahiran serta perspektif global staf pengurusan universiti.
Delegasi UiTM diketuai oleh Puan Rizadora Muhamad Arsad (Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Akademik dan Antarabangsa) bersama beberapa individu penerima Anugerah Pentadbir UiTM Tahun 2023, iaitu Encik Salifairus bin Muhammad Jafar (Pegawai Sains Kanan, Institut Sains), Dr Muslim bin Ismail (Pustakawan Kanan, UiTM Kampus Machang), Encik Ahmad Farhan bin Mohd Fadzil (Pegawai Teknologi Kanan, Jabatan Digital) dan Puan Anita Binti Abu Kassim (Pegawai Psikologi Kanan, UiTM Kampus Jengka).
Program ini berfokus pada eksplorasi teknologi terkini di POSTECH, salah satu universiti sains dan teknologi terkemuka dunia. Selain itu, ia juga membuka peluang kerjasama antarabangsa, selaras dengan misi UiTM untuk menjadi institusi global yang kompetitif. POSTECH pernah dinobatkan menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti sains dan teknologi Asia oleh Majalah Asiaweek, kedudukan ke-28 dalam Kedudukan Universiti Dunia oleh Times Higher Education, dipilih sebagai salah satu daripada 100 Inovator Global Teratas 2012 oleh Thomson Reuters, , kedudukan pertama dalam kalangan 100 universiti terbaik di bawah umur 50 tahun oleh Times Higher Education (tiga tahun berturut-turut) dan kedudukan pertama dalam Kedudukan Universiti Korea Joongang Ilbo (dua tahun berturut-turut).
Menurut Puan Rizadora, program ini adalah peluang besar untuk pentadbir universiti memahami standard pengurusan antarabangsa dan meneroka inovasi terkini. “Pengalaman ini sungguh bermakna dan meninggalkan kesan terhadap peningkatan kompetensi delegasi yang diamanahkan menyertai program ini. Kami berharap pengalaman ini dapat memberi impak positif kepada pembangunan sistem pengurusan dan penambah baikan kepada amalan universiti dalam pelbagai bidang,” katanya.
Inisiatif ini membuktikan komitmen UiTM untuk melahirkan pentadbir yang berwawasan dan berdaya saing, seterusnya memperkukuhkan kedudukannya sebagai universiti yang menerajui kecemerlangan di arena antarabangsa. Dengan pelaksanaan program seperti ini, UiTM tidak hanya memantapkan peranannya di peringkat kebangsaan tetapi turut melakar nama di pentas dunia.
Dalam program ini juga, mereka membuat lawatan dan perbincangan kolaborasi antara universiti dengan Pukyong National University, Busan dan Jeju National University.
Penulis: Rizadora Muhamad Arsad, Anita Abu Kassim, Salifairus Jaafar, Farhan Mohd Fadzil, Dr Muslim Ismail.