Program Literasi Maklumat: Memperkasakan Kemahiran Digital Pelajar Tahfiz

Alor Gajah, 18 Disember 2024 – Program Literasi Maklumat anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan aktif pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al Abqari, Tanjung Bidara. Program ini bertujuan untuk memperkasa kemahiran literasi maklumat dan memberi pendedahan kepada teknologi digital dalam kalangan pelajar.

Program ini dirasmikan oleh Encik Norhazlan Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UiTM Cawangan Melaka. Salah satu sesi utama ialah taklimat bertajuk Strategi Bijak Literasi Maklumat: Panduan Pelajar dalam Era Digital, yang disampaikan oleh Cik Hazlin Ibrahim Khan, Pustakawan Kanan. Taklimat ini memberi penekanan kepada kepentingan memahami kaedah untuk mengakses, menilai, menggunakan, menyimpan, dan menyebarkan maklumat dengan berkesan, terutama dalam menghadapi lambakan maklumat di internet.

Taklimat kedua bertajuk Eksplorasi Teknologi: Pengenalan Komputer dan Perisian, yang disampaikan oleh Encik Mohd Azali Talib, Pembantu Pustakawan Kanan, memberikan pendedahan asas tentang penggunaan komputer dan perisian relevan. Fokus utama taklimat ini adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi asas yang penting untuk pengajian dan kehidupan harian.

Selain sesi taklimat, program ini turut menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif seperti Ice-breaking dan Battle of the Brains. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memupuk semangat kerjasama, merangsang kreativiti, serta meningkatkan keyakinan diri peserta.

Kejayaan penganjuran program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada para pelajar, malah turut mengukuhkan peranan UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial. Usaha ini sejajar dengan matlamat UiTM untuk melahirkan generasi yang celik maklumat dan teknologi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih berdaya saing.

Program Literasi Maklumat ini telah membuktikan komitmen UiTM dalam berkongsi ilmu dan teknologi dengan masyarakat, seterusnya mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Penulis : Hazlin Ibrahim Khan, Pustakawan Kanan PTAR UiTM Cawangan Melaka