Dari Universiti ke Sekolah: Perkongsian STEM melalui Bengkel Arduino Adventure

Rawang, 10 Disember 2024 – Kolej Pengajian Kejuruteraan (Mekanikal), UiTM Shah Alam telah menganjurkan “Bengkel Arduino Adventure: A Journey into Electronics and Programming” di SMK Rawang pada Sabtu, 7 Disember 2024.

Seramai 17 orang murid tingkatan 1 hingga 3 dari aliran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK) telah menyertai program yang bertujuan memperkenalkan komponen elektronik dan asas pengaturcaraan.

Lima orang mahasiswa kursus Engineers in Society (MEC660) bertindak sebagai fasilitator program, dipimpin oleh Ahmad Hakim Bin Khamis selaku Pengarah Program. Bengkel ini merangkumi sesi teori, latihan praktikal, dan pertandingan mini projek menggunakan platform Arduino IDE.

Menurut penganjur, program ini bukan sekadar aktiviti pendidikan, malah bertujuan memupuk minat murid dalam bidang STEM dan meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah serta pemikiran kritis.

Puan Nor Lelawati Binti Hassan dari GKMP Sains dan Matematik SMK Rawang memuji inisiatif ini sebagai usaha berkesan untuk mendedahkan murid kepada teknologi moden. Program turut mendapat sokongan Innovation Lab UiTM dan Eagle Attech Sdn. Bhd.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Encik Mohamed Saufi Bin Shafie, Naib Yang Dipertua PIBG SMK Rawang, yang menekankan kepentingan pendedahan teknologi kepada generasi muda.