Kuala Langat, 6 Disember 2024 – Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang menjadi pentas utama Karnival STEM 2024 pada 28 November 2024, menandakan kolaborasi cemerlang antara mahasiswa Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Shah Alam, dan komuniti setempat.
Karnival yang dijalankan di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia–University for Society (SULAM) berjaya mengumpulkan lebih 200 pelajar sekolah menengah di daerah Kuala Langat, menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Antara acara utama karnival termasuk pertandingan “STEMStruct: Crafting Bridges, Building Futures”, pameran “Clean Water, Bright Future: The Science of Water Quality”, dan demonstrasi “Smart Solutions For Flood Risks: The Role of STEM”. Program ini turut menonjolkan objektif Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).
Muhammad Faez Iskandar, Pengarah Program, menekankan bahawa karnival ini lebih daripada sekadar pendedahan ilmu STEM. “Kami bertujuan memupuk kreativiti dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Aktiviti sampingan seperti penanaman pokok oleh Glow-Up Environment turut mendedahkan peserta kepada kepentingan penjagaan alam sekitar. Pensyarah dan wakil industri yang hadir sebagai penceramah dan juri telah menjadikan program ini platform holistik untuk pembelajaran dan inspirasi.
Ir. Mohamad Afizi bin Jamadin, antara tetamu kehormat, memuji inisiatif tersebut. “Program ini berjaya menghubungkan mahasiswa UiTM dengan masyarakat dan memberikan impak bermakna kepada pendidikan STEM di Malaysia,” katanya.
Karnival STEM 2024 membuktikan keberkesanan pendekatan Service-Learning dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berpengetahuan, malah prihatin terhadap komuniti. Inisiatif seperti ini dijangka akan terus menyemarakkan minat generasi muda terhadap bidang STEM.
Penulis :Ir Ts Dr Nuryazmeen Farhan binti Haron, Dr Intan Shafeenar Ahmad Mohtar, Dr Noraini Mat Mudari