UiTM Kampus Jasin, 12 November 2024 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin telah menganjurkan Program Townhall Jelajah ABATA bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM pada 12 November 2024 yang lalu. Program ini melibatkan penyertaan dari 13 kelab dan persatuan di bawah fakulti perladangan dan agroteknologi, pelajar Diploma Pengurusan Ladang semester 1 dan semester 2, pelajar Ijazah Sarjana Muda semester 1 dan semester 2, serta barisan staf Hal Ehwal Pelajar (HEP), barisan koordinator dan kakitangan pengurusan. Program ini turut dihadiri oleh Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM; Prof. Ts. Dr Azhan Hashim@Ismail, Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi; Dr. Ismail Rakibe, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi; dan dirasmikan oleh YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Timbalan Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital Kerajaan Negeri Melaka.
Tujuan utama program ini adalah untuk mendedahkan kepada para pelajar nilai patriotisme dan modal pembangunan insan (i-DART) yang dibahaskan dalam topik forum Agama, Bangsa dan Tanah air. Program ini juga dapat mewujudkan pemerkasaan Usaha, Takwa, Mulia dalam kalangan pelajar. Program ini bukan sahaja memperkukuhkan nilai-nilai patriotisme, agama, bangsa, dan tanah air, tetapi juga membangunkan modal insan melalui pendekatan ESI-IDART yang menyeluruh. Melalui penglibatan aktif pelajar dan kerjasama erat antara pihak pengurusan universiti, program ini telah mewujudkan suasana kampus yang kondusif, harmoni, dan berteraskan nilai-nilai murni.
Di samping itu, sesi interaksi antara TNC HEP dan mahasiswa telah membuka ruang dialog yang membina, sekaligus mengeratkan hubungan ukhuwah dan meningkatkan penglibatan pelajar dalam inisiatif universiti. Program ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang kepentingan jati diri, tetapi turut menyediakan platform untuk mereka berperanan aktif sebagai agen perubahan dalam komuniti. Usaha sebegini diharapkan dapat diteruskan bagi melahirkan generasi mahasiswa yang berwawasan, bertanggungjawab, dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta negara dengan penuh integriti dan semangat patriotisme.
Penulis:
Nurul Syahadah Isham, Siti Fairuz Nurr Sadikan