Shah Alam, 12 November 2024 – Program Bitara INTAN: “Bicarawara Pemimpin Muda: Teroka Impian, Realisasi Kejayaan” telah berlangsung pada 12 November 2024 (Selasa), bertempat di Dewan Serbaguna, INTAN Bukit Kiara pada jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang. Program ini dihadiri oleh para pelajar UiTM dari pelbagai cawangan. UiTM Shah Alam telah menghantar 15 orang pelajar.
Program ini membincangkan cara-cara mencapai kejayaan melalui sesi forum yang dikendalikan oleh Syairul Islam, hos TV RTM dan disertai oleh Dr. Shazril Shaharuddin, Hos Program Tanya Doktor TV3, Danial Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat ASLI dan Encik Muhd Izzat Afifi, Presiden Majlis Belia Malaysia selaku panel forum.
Sesi forum ini telah membincangkan pelbagai aspek kejayaan, termasuk pendapat bahawa kejayaan ialah perkara yang subjektif dan tidak mempunyai sebuah pengakhiran. Ahli panel bersetuju bahawa sifat merendah diri amat penting dalam mencapai kejayaan, selain daripada mempunyai niat yang betul dalam semua perkara serta berusaha mencari bidang yang diminati dan menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga di perkara tersebut.
Penampilan khas saudara-saudara Muhammad Abid Othman dan Muhammad Amin Othman atau lebih dikenali sebagai Abid dan Amin yang juga merupakan alumni UiTM Merbok, Kedah turut memeriah program ini. Perkongsian mereka mengenai perjalanan hidup mereka dari kecil sehingga berjaya menjadi individu yang bermanfaat kepada masyarakat.
Mereka turut berkongsi bahawa UiTM memberi mereka peluang kedua dalam kehidupan, membolehkan mereka mencapai pelbagai anugerah dan memenangi pelbagai pertandingan. Alumni Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Teknologi Mara Merbok, Kedah itu mendedahkan bahawa kursus yang dipelajari di UiTM telah membantu menggilap bakat mereka sekaligus menyumbang kepada kemahiran mereka dalam mereka bentuk pelbagai perkara yang mereka muat naik di saluran TikTok mereka.
Selain itu, mereka juga turut berkongsi ilmu mengenai kaedah-kaedah yang terbaik untuk mencipta video pendek yang boleh mendapat tontonan yang banyak. Kejayaan dua beradik ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja mampu mengubah nasib mereka melalui usaha, doa dan tawakal.
Peranan UiTM dalam melahirkan anak bangsa yang berwibawa amatlah penting dalam memastikan anak bangsa akan terus maju dan berjaya dalam pelbagai bidang. Selain daripada bidang STEM, penerokaan bidang-bidang lain yang diperlukan dalam kehidupan seharian sewajarnya diberi sokongan juga, khususnya kepada pelajar yang berbakat dan cenderung dalam bidang tersebut, sepertimana yang boleh dilihat pada tetamu-tetamu kehormat yang hadir pada majlis ini. Diharapkan agar program seumpama ini terus diadakan lagi pada masa hadapan.