UiTM Cawangan Selangor IPTA Pertama Anjurkan Kejuaraan Silat Tempur Antarabangsa Terbuka Malaysia 2024

Puncak Alam, 17 November 2024 – Kejuaraan Silat Tempur Antarabangsa Terbuka Malaysia 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula dari 14 hingga 17 November 2024 di UiTM Cawangan Selangor telah melabuhkan tirainya dengan majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah. Kejuaraan ini dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI). Perasmian disempurnakan oleh YAB Dato Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dan turut dihadiri oleh YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor.

Menyantuni majlis juga adalah YBhg. Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib, Naib Canselor UiTM, YBrs. Profesor Dr Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, YBhg. Dato Sri Dr Hj Mohamad Ali Mohamad, Timbalan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Tuan Mohamad Nizam Marjugi, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor.

Kejuaraan yang melibatkan seramai 1239 orang peserta ini telah menyaksikan UiTM Cawangan Selangor sebagai institusi pengajian tinggi awam pertama di Malaysia dan di Negeri Selangor yang melaksanakan penganjuran kejohanan silat bertaraf antarabangsa. Empat kategori dipertandingkan iaitu Pra-Dini (7-9 tahun), Dini (10-12 tahun), Remaja dan Terbuka. Semoga sinergi yang telah terbina antara UiTM Cawangan Selangor, dengan Kerajaan Negeri dan Persatuan Sukan, terus diperkukuh dan menjadi titik permulaan kepada penganjuran pelbagai acara sukan yang berprestasi tinggi pada masa hadapan.