Shah Alam, 6 November 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi menunjukkan komitmen terhadap kecemerlangannya dengan menduduki tempat ke-101 daripada 984 universiti di Asia dalam QS Asia University Rankings 2025. UiTM juga menonjolkan kualiti dan impak yang konsisten dengan mengekalkan kedudukan dalam 10% universiti teratas di seluruh Asia.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin menekankan kepentingan pencapaian ini. Menurut beliau, “Hasil daripada usaha dan dedikasi fakulti, pelajar, serta kakitangan kami, UiTM berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kalangan universiti terbaik Asia”. Tambahnya lagi, “Fokus institusi ini adalah untuk meningkatkan standard akademik, penyelidikan inovatif, dan penglibatan masyarakat yang membezakan institusi ini.”
Kedudukan tahun ini menekankan peningkatan yang ketara dalam beberapa indikator utama dalam sejarah UiTM. UiTM terus mencatat rekod skor tertinggi bagi indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa pada skor 93.1, diikuti dengan Reputasi Majikan, 82.8 dan Reputasi Akademik, 76. Skor untuk Reputasi Akademik khususnya menyaksikan peningkatan sehingga 45% dari tahun lepas. Pencapaian ini mencerminkan strategi penglibatan dan kolaborasi UiTM yang berkesan sehingga mendapat pengiktirafan dan persepsi positif daripada pakar akademik global.
UiTM akan terus melaksanakan inisiatif kukuh dalam bidang kemampanan dan tanggungjawab sosial untuk mempertingkatkan lagi penawaran akademiknya dan memastikan ia kekal terkehadapan dalam menangani cabaran kontemporari.
UiTM kekal berdedikasi untuk membina kekuatannya dan meningkatkan sumbangannya kepada landskap pendidikan tinggi di Malaysia dan seterusnya.