Alor Gajah, Melaka, 12 September 2024 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) meneruskan usaha mendekati komuniti dengan penyertaan aktif sebagai pempamer dalam EduSTEM@SAGA Peringkat Negeri Melaka 2024, yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah. Program ini bertujuan mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah, dengan fokus kepada penerapan teknologi dalam pertanian moden.
Pameran ini telah diwakili oleh Ts. Dr. Siti Fairuz Nurr Sadikan dan Sulaiman Mahzan. Pelbagai teknologi pertanian telah dipamerkan termasuklah penggunaan Internet of Things (IoT) dalam sistem pengurusan ladang serta sistem pengurusan lain yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya bagi mengenal pasti penyakit pada tanaman seperti nanas. Teknologi yang dipamerkan ini membuka ruang kepada pelajar untuk memahami bagaimana inovasi boleh digunakan bagi meningkatkan hasil pertanian.
Penyertaan FPA dalam EduSTEM@SAGA 2024 mencerminkan komitmen fakulti untuk membawa inovasi pertanian lebih dekat kepada masyarakat, terutamanya kepada pelajar yang berpotensi untuk menjadi peneraju masa hadapan dalam sektor pertanian. Program ini juga memberi pendedahan berkaitan kerjaya dalam bidang pertanian yang semakin berkembang.
FPA terus berusaha untuk mendekati komuniti dan berkongsi teknologi pertanian pintar yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga menyokong kelestarian alam sekitar. Pameran ini memberikan pelajar pemahaman mendalam mengenai peranan penting teknologi dalam pertanian, sekaligus menginspirasi mereka untuk melihat sektor pertanian ini sebagai peluang kerjaya di masa hadapan. FPA berhasrat untuk terus memperluaskan penyertaan dalam program komuniti seumpama ini di masa hadapan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan pertanian di Malaysia.
Galeri Gambar: