26 Oktober 2024 – Persatuan Siswa Siswi Sains Matematik (PERSIK) yang merupakan persatuan pelajar bagi program Diploma Sains Matematik (CDCS143) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah telah berjaya menganjurkan program “First Step with PERSIK” yang bertempat di Pusat Pelajar, UiTM Kampus Tapah. Program ini telah dikendalikan ahli jawatankuasa PERSIK di bawah bimbingan penasihat, Pn. Samsiah Abdul Razak. Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah terlibat, disamping menyemai semangat kerja berpasukan melalui pelbagai aktiviti menarik yang menguji kecekalan fizikal dan mental para peserta.
Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari, dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan pembukaan oleh Presiden PERSIK serta perasmian oleh Koordinator Program, Dr. Nurul Hafizah Zainal Abidin. Program ini telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 90 pelajar Diploma Sains Matematik. Aktiviti pertama ialah senamrobik yang dipimpin oleh ahli jawatankuasa PERSIK sendiri, memulakan suasana pagi dengan penuh keceriaan dan semangat. Seterusnya, pelajar dibahagikan kepada lapan kumpulan dan diminta mempersembahkan “cheers” unik mereka bagi menyemarakkan semangat kumpulan. Kumpulan 7 menjadi tumpuan kerana melibatkan gabungan tiga pelajar dan tujuh pensyarah.
Program diteruskan dengan aktiviti “Balloon Hand” yang menguji daya fokus lima ahli dari setiap kumpulan, di mana mereka perlu mengangkat cawan polisterin menggunakan belon yang ditiup dan dipegang di mulut. Aktiviti “Guess What” menyusul, melibatkan kerjasama erat setiap ahli kumpulan, di mana dua peserta perlu meneka perkataan berdasarkan lapan huruf yang dilekatkan pada lapan ahli lain. Aktiviti ini jelas menuntut ketangkasan serta sinergi antara ahli, sekaligus meningkatkan kemahiran berfikir kreatif, memperkukuhkan semangat kerjasama dan komunikasi, serta membantu membina hubungan baik di antara mereka.
Acara diteruskan dengan “Poisonous Bridge,” di mana peserta menggunakan kotak terpakai sebagai laluan untuk melintasi garisan penamat, menguji keutuhan kerjasama dan strategi dalam kalangan kumpulan. Aktiviti seterusnya, “Chemistry Maze,” melibatkan lima peserta yang mengawal pen penanda (marker pen) untuk mencari laluan keluar berdasarkan gambarajah yang disediakan. Aktiviti terakhir, “Fill Up!” menuntut setiap ahli menyerahkan span basah kepada ahli berikutnya, di mana peserta terakhir memerah span tersebut ke dalam botol dalam keadaan mata tertutup. Pemenang dikira berdasarkan jumlah air terbanyak yang berjaya dikumpulkan dalam botol.
Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah oleh Dr. Nurul Hafizah diiringi sesi bergambar beramai-ramai. Secara keseluruhannya, program “First Steps with PERSIK” ini telah mencapai objektifnya dalam mempereratkan jalinan ukhuwah dan semangat kerja berpasukan antara pelajar dan pensyarah, sekaligus mencipta kenangan manis buat semua yang hadir. Kejayaan ini turut menginspirasi PERSIK untuk menganjurkan lebih banyak program yang serupa pada masa akan datang, memanfaatkan ukhuwah dan semangat berpasukan yang terjalin.
Penulis bersama : Mohamad Hidayad