Jasin, 23 Oktober 2024– Jawatankuasa Audit Dalam Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) di bawah Unit Pengurusan Kualiti UiTM Melaka, Kampus Jasin telah menganjurkan Kursus Audit Dalam pada 04 – 06 September 2024 yang lalu. Seramai 35 orang peserta yang terdiri dari kakitangan akademik, pengurusan dan sokongan telah menyertai kursus ini.
Jawatankuasa Audit Dalam (FPA) turut bergerak seiring bagi mencapai dan merealisasikan misi dengan membantu pihak pengurusan memperbaiki serta meningkatkan sistem kawalan dalaman dan mengukuhkan proses akauntabiliti. Sehubungan dengan itu, penganjuran kursus yang berlangsung selama tiga hari secara atas talian ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan dengan sistem pengurusan kualiti, serta meningkatkan pemahaman terhadap keperluan standard COPIA dan ISO 9001:2015. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan “refreshment’ terhadap proses audit kepada auditor sedia ada selain bertujuan melantik lebih ramai auditor dikalangan kakitangan akademik, pengurusan dan sokongan bagi memantapkan sistem pengurusan kualiti di FPA. Di dalam kursus ini peserta telah didedahkan dengan peranan dan tanggungjawab auditor semasa pelaksanaan audit dalam seperti merancang, melaksanakan, penyediakan laporan dan membuat susulan audit mengikut sistem audit pengurusan kualiti. Bagi mendapatkan pentauliahan sebagai auditor dalaman di UiTM, para peserta perlu menghadiri serta menamatkan enam sesi ceramah, melaksanakan tugasan dalam kumpulan semasa Mock Audit dan seterusnya menjalani ujian kompetensi.
Penceramah yang dijemput adalah penceramah yang mendapat pentaulihan dari Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) iaitu Cik Henny Hazliza Mohd Tahir dari Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat serta Encik Yap Eng Sim, dari Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Shah Alam. Kedua-dua penceramah merupakan panel penilai yang berpengalaman dalam pelaksanaan audit luar iQMS dan telah menyampaikan maklumat dengan cukup berkesan. Dengan penganjuran kursus ini, diharapkan semua peserta yang telah berjaya mendapat pentauliahan dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan FPA sentiasa mematuhi standard yang ditetapkan.