ALOR GAJAH, 21 OKTOBER 2024 – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka dan Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Syari’ah Bengkalis, Universitas Naudhatul Ulama (UNU) Pasuruan dan Sekolah Tinggi Agama Islam Salahuddin (STAIS) Pasuruan telah berlangsung dengan jayanya pada pagi 21 Oktober 2024 bertempat di Dewan Taming Sari, UiTM, Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.
Memorandum Persefahaman ini ditandatangani oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi Hj. Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka bersama Zakaria Batu Bara, MA, STIE Syari’ah Bengkalis, Suadi, S.A.g., M.Pd.I, UNU Pasuruan dan Saiful Bakhri, M.M, STAIS Pasuruan.
Melalui MoU yang berjaya dimeterai ini, MoU ini berpotensi membawa kepada lebih banyak kerjasama positif di antara kesemua pihak menerusi perancangan pelbagai program berimpak tinggi pada masa hadapan seperti dalam aspek peluang-peluang kolaborasi projek penyelidikan secara bersama, program mobiliti antarabangsa, inovasi, pertukaran dan pemindahan ilmu pengetahuan serta perancangan dan pelaksanaan program akademik di peringkat antarabangsa.
Memetik kenyataan oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi Hj. Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka, beliau melihat kerjasama ini berupaya menjadi titik tolak ke arah lebih banyak kolaborasi strategik pada masa hadapan yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara. Kualiti akademik iaitu dalam aspek pengajaran dan penyelidikan juga mampu diperkasakan melalui usaha kerjasama ini. Selaras dengan visi UiTM iaitu menjadikan UiTM sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains, Teknologi, Kemanusiaan dan Keusahawanan, langkah menandatangani MoU ini dilihat antara langkah penting dalam meningkatkan pengantarabangsaan universiti.
Semestinya MoU ini akan memberikan manfaat kepada warga institusi keseluruhannya daripada kedua-dua buah negara. Dengan termeterainya MoU ini, adalah diharapkan kerjasama baharu ini akan berterusan dalam penghasilan pelbagai pencapaian berimpak tinggi di samping turut berpotensi meningkatkan prestasi, reputasi serta keterlihatan UiTM Cawangan Melaka, STIE Syari’ah Bengkalis, UNU Pasuruan serta STAIS Pasuruan secara keseluruhannya.
Penulis: Dr. Hainnuraqma Rahim, Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Maizatul Saadiah Mohamad, Ilya Yasnorizar Ilyas, Rosilawati Sultan Mohideen, Khairi Khairuddin