Jengka, 18 Oktober 2024 – Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang baru-baru ini telah menerima kunjungan daripada Kolej Vokasional (KV) Sepang untuk program lawatan sambil belajar dan penandaarasan. Program yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 17 dan 18 Oktober 2024, bertujuan untuk memupuk hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang akademik dan kemahiran pelajar. Lawatan penandaarasan ini juga merupakan satu proses yang sistematik dan berterusan untuk mengenalpasti, mempelajari, mengubahsuai dan melaksanakan amalan-amalan terbaik daripada kedua-dua pihak sebagai satu strategi penambahbaikan berterusan. Secara tidak langsung, program seperti ini juga dapat membina jalinan yang positif antara Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dan KV Sepang.
Lawatan ini melibatkan penyertaan 26 orang pelajar tahun satu dari program Diploma Perakaunan KV Sepang, yang turut diiringi oleh tujuh orang pensyarah dari Jabatan Perniagaan, KV Sepang. Dari pihak UiTM Pahang, seramai 21 orang pensyarah Fakulti Perakaunan bersama 14 orang wakil pelajar turut terlibat dalam menjayakan program ini.
Menurut Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi bin Nias Ahmad, program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memenuhi keperluan Malaysian Qualifications Agency (MQA) serta memperkukuhkan kolaborasi industri antara KV Sepang dan UiTM yang dimeterai melalui Nota Persefahaman (NOU) pada Mac 2023.
Program ini diisi dengan sesi taklimat, lawatan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar, bilik kuliah, makmal komputer dan perpustakaan UiTM Cawangan Pahang pada hari pertama. Pada hari kedua, pensyarah dan juga pelajar-pelajar dari kedua-dua institusi terlibat dalam sesi perkongsian berkaitan kurikulum dan inovasi, di samping aktiviti kolaboratif antara pelajar KV Sepang dan pelajar UiTM. Turut diadakan, majlis penyerahan surat lantikan External Assessor kepada pensyarah UiTM, yang dilihat sebagai langkah penting dalam memantapkan kualiti pendidikan vokasional di KV Sepang. Dengan kejayaan program ini, hubungan erat yang terjalin antara KV Sepang dan UiTM Cawangan Pahang diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik serta pembangunan bakat generasi muda.