Puncak Alam, 17 Oktober 2024 – Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan satu sesi syarahan perdana yang telah disampaikan oleh Profesor Adjung Tn. Hj. LAr. Nik Malik Nik Zainal Abidin yang juga merupakan pengarah di MLA Landscape Architects Sdn. Bhd.
Keterlibatan pensyarah dan pelajar Bidang Senibina Landskap sangat memberangsangkan dalam sesi tersebut sehingga ruang dewan kuliah dipenuhi sepenuhnya. Syarahan perdana tersebut merungkai aspek alam semulajadi, budaya dan seni khususnya dalam senibina landskap. Hal ini amat penting kerana aspek-aspek tersebut sangat signifikan untuk dititik beratkan dalam merencana sesuatu rekabentuk bagi menjamin keseimbangan dan kesejahteraan kehidupan manusia dan alam semulajadi.
Perkongsian berkaitan projek-projek yang telah dilaksanakan juga memberi impak positif kepada para pelajar khususnya. Ini kerana mereka dapat menimba idea dan merancakkan lagi pemikiran agar dapat diaplikasikan dalam pembelajaran mereka. Selain itu, mereka turut didedahkan dengan realiti sebenar profesion arkitek landskap di Malaysia yang kian mencabar dalam mengimbangi keperluan manusia dan keseimbangan alam sekitar. Seterusnya, sesi soal jawab turut diadakan dalam menggalakkan perkongian interaktif antara penceramah dan juga para pelajar.
Pengalaman yang dimiliki oleh Nik Malik tidak dapat disangkal lagi. Ini kerana, beliau telah mengabadikan diri dalam profesion arkitek landskap sejak 1983 sehingga kini. Walaupun telah dimamah usia namun semangat beliau masih kekal muda sehingga beliau sanggup turun padang berkongsi curahan ilmu dalam memartabatkan profesion arkitek landskap di Malaysia. Selain itu, beliau bercadang untuk membuat sesi perkongsian yang lebih komprehensif kepada pelajar semester satu dan dua, Bidang Senibina Landskap pada masa akan datang. Cadangan tersebut turut disambut baik oleh Ketua Bidang Bidang Senibina Landskap, Prof. Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek.