Program Intensif Matematik Bantu Pelajar Kuasai Asas Matematik

19 Oktober 2024 – Satu Program Intensif Matematik antara Jabatan Sains Matematik, UiTM Kampus Tapah, Perak bersama pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Sains Tapah (SESTA) telah dijalankan bertempat di Sekolah Menengah Sains Tapah bermula jam 9.00 pagi sehingga 12 tengah hari. Program ini melibatkan seramai 14 orang pensyarah, 25 orang pelajar semester 4 Diploma Sains Matematik dan 167 orang pelajar tingkatan 4 SESTA.

Program ini merupakan inisiatif yang dijalankan di bawah anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KISB) SESTA bagi membantu pelajar tingkatan 4 atau lebih dikenali sebagai Lumiere 2125 untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun 2023 dan juga SPM 2025 nanti. Seramai 15 orang ahli KISB turut hadir dan diketuai oleh Puan Noorlita dimana beliau juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa PIBG SESTA.

Program bermula dengan ucapan aluan oleh pengetua SESTA, Puan Nor Hashimah Abdul Samat. Menurut pengetua, pencapaian pelajar tingkatan 4 dalam subjek Matematik pada peperiksaan pertengahan tahun yang lalu berada pada tahap yang amat mebimbangkan. Ini kerana seramai 121 orang pelajar daripada 167 orang pelajar telah gagal subjek Matematik. Terdapat pelajar hanya memperoleh markah minimum iaitu sebanyak 3 markah sahaja dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku bagi sekolah berasrama penuh (SBP). Harapan beliau, menerusi program intensif ini, para pelajar dapat mencapai markah minimum sebanyak 40 markah bagi peperiksaan akhir tahun yang bakal diadakan pada Disember nanti.

Seterusnya adalah ucapan dari Koordinator Jabatan Sains Matematik, Dr Nurul Hafizah Zainal Abidin. Beliau menerangkan serba sedikit berkaitan perjalanan program dimana program ini akan dibantu oleh fasilitator yang merupakan pelajar semester 4 Diploma Sains Matematik UiTM Tapah.

Pada pukul 9.15 pagi, program diteruskan dengan sesi pembelajaran dalam kumpulan. Pelajar yang terlibat telah dibahagikan kepada 6 kumpulan kecil dimana setiap kumpulan akan dibantu oleh pelajar dan pensyarah UiTM. Setiap kumpulan juga telah ditempatkan di kelas yang berasingan supaya pelajar mendapat lebih perhatian dan bimbingan daripada fasilitator. Soalan – soalan untuk program ini telah disediakan oleh guru Matematik tingkatan 4 SESTA

Pada sesi pertama, para pelajar perlu menyelesaikan persamaan dan ungkapan Algebra. Fasilitator dan juga pensyarah akan memberi penerangan berkaitan konsep asas Algebra serta menerangkan kepada pelajar cara menjawab soalan dengan betul dan menunjukkan jalan penyelesaikan bagi setiap soalan. Sesi pertama berakhir pada pukul 10.30 pagi.

Sesi kedua diteruskan pada pukul 11 pagi dengan topik menganalisis graf jarak – masa. Para pelajar diberi penerangan tentang konsep graf gerakan, dan menghuraikan hubungan antara kelajuan, jarak, dan masa dalam graf.

Secara keseluruhan, program intensif ini berjaya membantu pelajar menguasai asas Matematik dan membina keyakinan diri untuk menghadapi peperiksaan yang bakal datang. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Penulis bersama: Nur Azila Yahya