Shah Alam, 17 Oktober 2024 – Seramai 60 Komander Kesatria UiTM Shah Alam telah menyertai Program Tayangan Khas filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years di TGV Cinema Central i-City. Inisiatif ini dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam dengan tujuan memberi inspirasi kepada para Komander melalui kisah kejayaan penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa.
Filem dokumentari yang bakal ditayangkan secara rasmi pada 18 Oktober ini menceritakan perjalanan karier Rossa, atau nama penuhnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, sepanjang 25 tahun dalam industri muzik. Kisahnya dipenuhi dengan usaha gigih dan pencapaian yang luar biasa, diharap dapat menyuntik semangat kepada para Komander Kesatria untuk terus berusaha dan mencapai impian mereka.
Pegawai pengiring Pusat Kokurikulum, Pn. Siti Hajar Asnida Ahmad, turut hadir dan menyatakan bahawa pengalaman menonton filem dokumentari ini memberikan pendedahan yang sangat berharga kepada para Komander Kesatria. Beliau yakin bahawa filem ini mampu menggalakkan mereka untuk tidak mudah berputus asa ketika menghadapi cabaran dalam kehidupan.
Program ini bukan sekadar peluang untuk mendalami kisah ikon seni terkenal, malah menjadi platform untuk memupuk semangat juang dan nilai ketabahan dalam kalangan pelajar UiTM, khususnya para Komander Kesatria.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Sazili Shahibi
Penulis Bersama: Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Nooraidah Mokhtar, Dr. Alwi Mohd Yunus, Dr.Basharudin Abdul Hadi