Shah Alam, 17 Oktober 2024 – Pusat Kokurikulum UiTM telah mengadakan ujilari penggunaan e-book bagi Kursus Kesatria Negara 1, melibatkan seramai 45 pelajar sebagai kumpulan perintis. Ujilari ini bertujuan memastikan kelancaran sistem penggunaan e-book yang bakal melibatkan lebih 15,000 pelajar sepanjang semester Oktober 2024 hingga Februari 2025.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, turut hadir bagi memantau kesiapsediaan sistem serta memastikan pelajar dapat mendaftar dan mengakses e-book dengan lancar. Beliau menyatakan bahawa inovasi ini merupakan salah satu langkah penting dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran di UiTM. “Inisiatif e-book ini bukan sahaja membantu menyelesaikan isu rujukan pelajar tetapi juga memperkenalkan amalan teknologi yang selari dengan keperluan kehidupan harian di kampus,” katanya.
Inisiatif ini adalah hasil kerjasama erat antara Jabatan Digital, diketuai oleh Dr. Mohd Hairy Mohammadiah serta Mohamad Zulhelmi Redzwan, bersama Pusat Kokurikulum di bawah pimpinan Muhammad Syuhairi Zakaria. Menurut Pengarah Kokurikulum UiTM, Datuk Dr. Hasrol Jono, inovasi ini merupakan satu pencapaian besar dalam mengintegrasikan teknologi digital ke dalam pendidikan, sekaligus memenuhi keperluan pelajar di era moden. Turut hadir ialah wakil Pejabat Bendahari Zon 3, Pn. Herni Binti Rahmat.
E-book Kesatria dijangka menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan efektif, membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran dengan lebih mudah dan melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran. Langkah ini dilihat sebagai satu pendekatan baru dalam memacu kecemerlangan akademik melalui penggunaan teknologi.
Inisiatif e-book ini juga mencerminkan komitmen UiTM dalam memimpin transformasi pembelajaran digital dan memperkasakan ekosistem pendidikan berasaskan teknologi.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Sazili Shahibi, Muhammad Syuhairi Zakaria
Penulis Bersama: Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Nooraidah Mokhtar, Dr. Alwi Mohd Yunus, Dr. Basharudin Abdul Hadi