Parlimen Mahasiswa Pemangkin Mahasiswa Berkepimpinan

Pada 12 October 2024, Parlimen Mahasiswa kali kedua telah dijalankan di Dewan Senat Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. Sesi parlimen ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Hj. Sazili Shahibi dan turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik & Sumber Manusia (BPSSM) Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), En Wan Ahmad Rahiman Wan Abd Rahim; Timbalan Pendaftar Pusat Pembangunan Pelajar (PPP) JHEP, Puan Salmiwati Othman; dan Pegawai Eksekutif Unit Korporat dan Tugas-tugas Khas (UKTK) JHEP, Encik Mohammad Faez Ne’man.

Sesi parlimen ini melibatkan 72 orang ahli parlimen, termasuk ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Ketua-ketua Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPK), dan Yang Dipertua Persatuan Pelajar. Sesi parlimen ini secara umumnya telah membincangkan 10 usul yang merangkumi kluster Kebajikan Pelajar, Pembangunan Pelajar, Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP/CEC), dan lain-lain hal yang berbangkit.

Sesi parlimen ini disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube parlimen mahasiswa, memberi peluang kepada mahasiswa UiTM dan orang awam untuk menonton cara parlimen mahasiswa dijalankan di UiTM Shah Alam. Para mahasiswa juga turut berpeluang melihat usul-usul yang telah mereka usulkan dibincangkan oleh ahli-ahli parlimen dan mendapat penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan.

Sesi penggulungan dilakukan pada 13 October 2024 Pengarah Pembangunan Pelajar, YBrs. Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Noor, merangkap pengerusi dewan dan turut dihadiri oleh Timbalan Pendaftar Pusat Pembangunan Pelajar (PPP) JHEP, Puan Salmiwati Othman; dan Pegawai Eksekutif Unit Korporat dan Tugas-tugas Khas (UKTK) JHEP, Encik Mohammad Faez Ne’man. Sesi penggulungan ini merumuskan semua isu yang dibahaskan dan undian telah dilaksanakan sama ada untuk menerima atau menolak usul-usul tersebut. Sesi penggulungan ini telah mencerminkan usaha semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan sidang parlimen ini secara langsung dan tidak langsung, membolehkan sesi persidangan ini berlangsung dengan jayanya.

Pelaksanaan sesi parlimen mahasiswa oleh kampus induk menjadi contoh kepada kampus-kampus lain untuk bersama-sama mendengar suara mahasiswa serta memberi mahasiswa peluang untuk berkhidmat kepada mahasiswa sebagai Ahli Parlimen Mahasiswa UiTM Shah Alam. Sesi parlimen ini juga memberi ruang kepada mahasiswa untuk mempelajari lebih lanjut mengenai tatacara parlimen dijalankan serta lebih mendalam untuk menimba ilmu pengetahuan mereka mengenai dunia politik, selaras dengan taraf terkini mereka sebagai pengundi.

Melalui sesi parlimen ini, UiTM berharap agar generasi seterusnya dapat menjadi pemimpin yang berintegriti serta menggunakan pengalaman mereka ini untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah andai mereka menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan. UiTM juga ingin melahirkan generasi muda yang peka dengan isu-isu semasa serta mewujudkan permuafakatan dalam kalangan mahasiswa bumiputera untuk mencapai penyelesaian yang menyeluruh kepada masalah-masalah mereka.