12 Oktober 2024 – Radia Arena, Bukit Jelutong, Shah Alam, menjadi saksi bersejarah bagi kejohanan “SAAC-BJWP International Archery Championship 2024.” Kejohanan ini, yang berlangsung dari 10 hingga 13 Oktober, adalah hasil kerjasama Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam dengan sukarelawan, Shah Alam Archery Club, dan BJ Wolfpack Archery Club. Kejohanan ini mencatat sejarah dengan penyertaan seramai 1,680 pemanah dari seluruh Malaysia serta negara jiran seperti Indonesia, China, Thailand, dan Singapura. Pada pukul 12.00 tengah hari, kejohanan ini secara rasmi menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai kejohanan memanah dengan penyertaan terbanyak dalam sejarah Malaysia.
Kehadiran Yang Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, sebagai tetamu kehormat turut menyempurnakan acara tersebut, di mana baginda menyaksikan penganugerahan pengiktirafan tersebut.
Bagi memastikan kelancaran kejohanan, Briged Sukarelawan UiTM Shah Alam, di bawah Pusat Kokurikulum, telah menyumbang 50 orang sukarelawan yang bertugas dalam aspek persiapan padang serta berperanan sebagai “Quarter Master” (QM) sepanjang acara. Sukarelawan ini memainkan peranan penting dalam logistik, pendaftaran, dan pelaksanaan bengkel pengurusan sukarelawan, memastikan setiap tugasan berjalan lancar dan sempurna.
UiTM turut diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, bersama Datuk Dr. Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, dan Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah, Penolong Pendaftar Kanan (Kokurikulum), yang hadir memberi sokongan kepada para sukarelawan.
Menurut Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UiTM tidak hanya berpeluang menimba pengalaman berharga dalam memberi khidmat komuniti, tetapi juga menerapkan DNA UiTM yang mengutamakan kepentingan agama, bangsa, dan negara. Program ini membuktikan bahawa pelajar UiTM bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, tetapi juga berperanan penting dalam memberi sumbangan kepada masyarakat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang berwawasan dan berintegriti tinggi.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Sazili Shahibi
Penulis Bersama: Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah, Dr. Alwi Mohd Yunus, Dr. Basharudin Abdul Hadi,