KPPIM Prihatin Kebajikan Pelajar Sebagai Suntikan Semangat Menyambung Pengajian di UiTM

27 September, Kuala Selangor – KPPIM telah mengambil inisiatif mengenal pasti para pelajar kurang berkemampuan yang bakal mendaftar ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada semester Oktober 2024, untuk memberikan bantuan dan sokongan. Sejajar dengan Program Ziarah Kasih JHEP kepada Mahasiswa Miskin B40 Sesi Oktober 2024, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) KPPIM yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Haryani Haron, Menjalankan Tugas Penolong Naib Canselor KPPIM, Encik Mohd Nazrul Mohd Amin, Dekan HEP dan Dr. Suzana Ahmad, Ketua Kesejahteraan dan Kebajikan KPPIM telah turun padang untuk menyantuni pelajar baharu kurang bermampuan.

Melalui inisiatif ini seramai dua (2) orang pelajar kurang berkemampuan telah dikenal pasti iaitu Siti Hazryna binti Hamzahri dari program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kep) Pengkomputeran Multimedia. Bapa Siti Hazryna merupakan pemandu bas sekolah manakala ibunya tidak bekerja. Pelajar kedua pula ialah Nuraina Nurul Asyiqin binti Zulkifli dari program Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kep) Pengkomputeran Perniagaan, merupakan anak seorang petani dan ibunya merupakan seorang suri rumah.

Program ini melibatkan lawatan ke rumah-rumah pelajar yang terpilih di mana pihak HEP menyerahkan Sumbangan Kebajikan dan Surat Tawaran Program Sulong 3.0. Program Sulong 3.0 merupakan inisiatif khusus yang memberikan Pengecualian Yuran Pengajian sepanjang tempoh pengajian bagi anak sulung daripada keluarga yang menerima tawaran menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam. Kedua-dua pelajar ini merupakan anak sulung yang pertama mendapat tempat di universiti di dalam keluarga mereka, justeru melayakkan menerima skim ini.

Kedua-dua pelajar ini telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UiTM dalam kesudian pihak KPPIM untuk turun padang dan menyantuni mereka yang kurang berkemampuan ini. Kegembiraan mereka jelas terpancar dan kunjungan ini sedikit sebanyak memberikan suntikan motivasi untuk mereka melangkah kaki di menara gading tidak lama lagi.

Usaha ini juga bagi menyahut saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir agar IPT dapat memastikan semua pelajar baharu yang ditawarkan daripada kalangan B40 dan asnaf tidak tercicir dan diberikan bantuan.

Penulis : Dr. Suzana Ahmad