Shah Alam – Audit Pertimbangan Pengekalan Status Swaakreditasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berlangsung pada 10 September 2024. Sesi audit pada kali ini dijalankan bertujuan untuk membuat semakan terhadap cadangan penambahbaikan berhubung laporan Audit Pengekalan Status Swaakreditasi yang dilaksanakan pada Mac hingga Julai 2023.
Sesi pengauditan telah dijalankan dengan penuh komited oleh dua orang Panel Auditor dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu YBrs. Prof. Dr. Shahrin Mohamad dan YBrs. Prof. Dr. Alan Ong Han Kiat berserta dua orang sekretariat MQA. YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, dalam ucapan pembukaan telah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama memastikan tindakan penambahbaikan dilaksanakan. Beliau berharap sesi audit ini dapat membantu UiTM memperkukuh tatakelola agar selari dengan hala tuju pendidikan negara.
YBhg. Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM telah membentangkan tindakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pertimbangan pengekalan status swaakreditasi UiTM. Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dibuat adalah pembangunan sistem yang menguruskan akreditasi program iaitu iAccredit, penambahbaikan struktur Unit Kualiti UiTM Cawangan dan pelaksanaan latihan pegawai kualiti UiTM.
Pihak Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) selaku Sekretariat Audit Pematuhan Swaakreditasi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran Audit Pertimbangan Pengekalan Swaakreditasi UiTM. Diharap UiTM akan kekal sebagai universiti berstatus swaakreditasi dan semoga kejayaan milik kita.