Bandung, 9 September 2024– Kolej Pengajian Seni Kreatif, Jabatan Seni Halus & Art Trivium, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak dengan Kerjasama Institut Seni Budaya Indonesia (ISBI) Bandung telah melakar satu lagi sejarah dengan penganjuran Pameran Seni Lukis di peringkat antarabangsa. Pameran Antarabangsa Komuniti Seni Nusantara ini telah diadakan di galeri 212 bertempat di ISBI Bandung. Pameran yang dianjurkan buat pertama kalinya ini telah disertai oleh 12 orang pelukis di mana seramai 7 orang pelukis daripada Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA Perak manakala 5 pelukis adalah dari ISBI Bandung. Pameran ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Perancangan, Sistem maklumat dan kerjasama ISBI iaitu Dr. Supriatna, S.Sn. dan juga Dr. Aznan Omar selaku Ketua Pusat Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak.
Pameran Antarabangsa Komuniti Seni Nusantara ini merupakan inisiatif daripada pensyarah-pensyarah daripada Jabatan Seni Halus, KPSK UiTM Perak yang diketuai oleh Dr. Khayril Anwar Khairudin bersama-sama dengan ahli yang lain iaitu En. Mohamad Hafiz Yahaya, Dr. Siti Ermi Syahira Abd Jamil, Dr. Aznan Omar, En. Muhammad Salehuddin Zakaria, Pn. Siti Humaini Said Ahmad, Cik Rosmidahanim Razali dan juga Cik Florene Ejot Masanat bersama-sama dengan pensyarah daripada ISBI iaitu En. Agus Cahyana, En. Gustiyan Rachmadi, En. Asep Miftahul Falah dan beberapa orang lagi pensyarah yang lain.
Tujuan utama pameran ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi persahabatan di antara dua institusi pengajian ini yang telah terjalin semenjak dari tahun 2014 lagi di samping untuk mengadakan pameran di peringkat antarabangsa. Melalui pameran ini juga, ianya dilihat dapat memantapkan lagi pengetahuan serta kemahiran setiap peserta melalui perkongsian ilmu silang budaya yang diadakan. Di samping itu, aktiviti pameran ini juga turut memberikan inspirasi terutamanya kepada pelajar-pelajar dari kedua-dua buah negara melalui hasil karya yang dipamerkan.
“Pameran yang diadakan ini juga merupakan jambatan kepada pensyarah-pensyarah terutamanya pensyarah muda di dalam menempatkan diri dalam kalangan pelukis-pelukis tersohor di rantau asia. Melalui pameran di peringkat antarabangsa ini juga sebenarnya dapat mematangkan lagi hasil karya yang dihasilkan oleh setiap pensyarah dan diharap melalui karya-karya yang berkualiti ini dapat manaikkan nama UiTM khususnya di persada seni antarabangsa”, ujar Dr. Khayril Anwar Khairudin selaku ketua projek Pameran Antarabangsa Komuniti Seni Nusantara ini.
Melalui impak positif yang ditunjukkan, diharap pameran seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih ramai dalam kalangan pensyarah dan juga pelukis.
Disediakan oleh: Dr. Khayril Anwar Khairudin, Dr. Aznan Omar, Dr. Ermi Syahira, En. Mohammad Hafiz Yahaya, En. Muhammad Salehuddin Zakaria, Pn Siti Humaini Said Ahmad, Cik Rosmidahanim Razali dan Cik Florene Ejot Masanat