Pahang – Program kunjungan hormat Universitas Halu Oleo, Kendari, Indonesia telah diadakan pada 25 sehingga 27 Ogos 2024. Seramai 4 orang delegasi daripada Universitas Halu Oleo telah berkunjung ke Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang iaitu Dr. Damhuri, Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Kependidikan bersama tiga orang pensyarah daripada fakulti yang sama iaitu Pn. Lili Darlian, Pn. Murni Sabilu dan Drs. La Kolaka. Kedatangan mereka telah disambut baik oleh Dr. Engku Azlin Rahayu Engku Ariff selaku pengarah program dan salah seorang ahli di dalam kumpulan penyelidikan fisiologi tumbuhan ubatan tersebut.
Setibanya di UiTM Pahang, para delegasi turut dialu-alukan oleh Liaison Officer UiTM Pahang, Ts. Dr. Mohd Fakri Muda dan Ketua Pusat Pengajian Sains, Dr. Shaari Daud. Mereka kemudian dibawa ke makmal untuk melihat peralatan penyelidikan, kemudahan bilik kuliah dan dusun rambutan yang ada di UiTM Pahang. Pada sebelah petang pula, sebuah sesi perjumpaan bersama pensyarah Unit Biologi telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama bagi membincangkan dan mengenal pasti peluang-peluang kolaborasi yang lain. Hasil daripada sesi perjumpaan tersebut, beberapa bidang penyelidikan yang sama telah dikenal pasti dan akan dikembangkan kepada kolaborasi dari segi penyelidikan, penerbitan bersama dan juga matching grant. Penglibatan ini secara tidak langsung telah membantu pihak penganjur dalam mencapai objektif program yang telah ditetapkan iaitu membina jaringan dan menggalakkan rantaian hubungan dengan institusi-institusi luar negara dalam memperluaskan hubungan antarabangsa khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Pada hari ketiga, pihak delegasi telah dibawa ke Taman Botani Negara, Shah Alam, tempat di mana sampel penyelidikan bersama mereka telah diambil. Kedatangan kami disambut oleh seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti (AS255) yang sedang menjalankan latihan industri di sana. Setelah itu, kami mendengar taklimat dan dibawa melihat kawasan tersebut oleh pegawai yang bertugas. Hasil daripada lawatan tersebut, beberapa tajuk penyelidikan lain yang boleh dijalankan telah dikenal pasti. Lawatan tersebut berakhir pada pukul 5.00 petang dan pihak delegasi kemudian dibawa untuk menjamu selera sebelum dihantar ke tempat penginapan mereka.
Kesimpulannya, keseluruhan program telah berlangsung dengan baik dan mendapat tindak balas yang positif daripada setiap delegasi yang berkunjung. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar usaha-usaha pemuliharaan dan penggunaan hidupan daratan termasuk hutan dan hidupan liar yang mampan dapat dilakukan seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 15 : hidupan di atas darat.