Taklimat Misi Akademik UiTM di SMK Serting Hilir Kompleks: Merintis Jalan ke Menara Gading

Negeri Sembilan, 28 Jun 2024 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) terus komited dalam memperkasakan pendidikan dan ilmu pengetahuan melalui pelbagai inisiatif, salah satunya adalah melalui jelajah misi akademik ke sekolah-sekolah. Misi ini bertujuan untuk memperluaskan jangkauan pendidikan tinggi dan memperkenalkan peluang serta manfaat melanjutkan pelajaran di UiTM kepada para pelajar sekolah menengah, khususnya calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Baru-baru ini, pasukan Misi Akademik UiTMCNS telah dijemput oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Serting Hilir Kompleks (SERHILLS) bagi berkongsi maklumat berkenaan dengan program-program akademik yang ada ditawarkan di UiTM.

Objektif utama misi akademik ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan menjadikan UiTM sebagai salah satu institusi pilihan mereka kelak. Selain itu, misi ini juga bertujuan untuk membimbing para pelajar dalam membuat keputusan yang tepat berkaitan dengan bidang pengajian yang sesuai dengan minat dan potensi mereka.

Beberapa sesi perkongsian telah disampaikan oleh wakil-wakil dari UiTMCNS sepanjang program ini berlangsung. Slot pertama telah disampaikan oleh Puan Siti Nafisah Md Rashid, yang mana beliau telah berkongsi maklumat berkenaan hala tuju pelajar selepas SPM serta program-program yang ditawarkan di UiTM berserta syarat kelayakan bagi permohonan program- program UiTM. Seterusnya, Puan Siti Noriah Mohd Shotor telah menerangkan berkenaan dengan Program Pra Diploma UiTM yang merupakan laluan istimewa yang disediakan untuk pelajar lepasan SPM sekiranya memperoleh keputusan SPM yang kurang memuaskan.

Selain itu, terdapat juga sesi perkongsian daripada alumni UiTM, iaitu Dr. Anis Low Muhammad Low yang merupakan pensyarah kanan di UiTMCNS Kampus Kuala Pilah dalam bidang kimia. Dr. Anis telah berkongsikan pengalaman beliau yang bermula sebagai pelajar Pra Diploma Sains sehinggalah berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah dan berkhidmat di UiTM. Manakala slot terakhir adalah sesi perkongsian daripada pelajar semester 4 Diploma Mikrobiologi UiTMCNS Kampus Kuala Pilah, yang juga merupakan alumni daripada program Pra Diploma Sains iaitu Cik Nur Syafiah Augustin. Beliau telah berkongsi pengalaman sebagai seorang mahasiswa di UiTMCNS dari aspek kehidupan di kampus, pengurusan akademik, aktiviti ko-kurikulum, latihan industri, hubungan dengan pensyarah, kaedah mengatasi cabaran, pertukaran pelajar, serta penglibatan dalam aktiviti berpersatuan.

Di samping itu, informasi berkaitan biasiswa, bantuan kewangan, dan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh UiTM turut diterangkan dalam taklimat selama 2 jam ini. Menerusi sesi perkongsian ini, majoriti pelajar yang sebelum ini dilihat kurang berminat atau tidak pasti tentang hala tuju mereka selepas tamat sekolah kini lebih yakin dan bersemangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui usaha sebegini, ia sedikit sebanyak membantu UiTM untuk memperkukuhkan imejnya sebagai institusi pendidikan tinggi yang inklusif dan komited dalam memajukan anak bangsa.