Lawatan KOMSAT ke Unit Makmal Sains UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau: Tingkatkan Kompetensi Staf Makmal

Tawau, 24 Ogos 2024 – Menyedari kepentingan Makmal Sains sebagai komponen kritikal dalam keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, pihak Kompleks Makmal Sains dan Argroteknologi (KOMSAT), Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Kota Kinabalu telah mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan kerja ke Unit Makmal Sains, UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau, Balung, Tawau.

Seramai 10 orang staf pentadbiran KOMSAT, yang diketuai Koordinator KOMSAT, Dr. Rosfayanti Rasmidi telah terlibat dalam lawatan yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kompetensi dan kemahiran selain mengetahui lebih lanjut berkaitan pengurusan dan keselamatan makmal, pengurusan dan pelaksanaan amali pelajar Pra Diploma Sains serta penganjuran aktiviti-aktiviti pelajar yang telah dilaksanakan di UiTMCSH Kampus Tawau.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh Encik Jemat Julaihi Basri, selaku PTJ Unit Makmal Sains, UiTMCSH Kampus Tawau  berkaitan latar belakang Unit Makmal Sains, pengurusan dan keselamatan makmal, statistik amali sains dan penganjuran aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar program Pra Diploma, UiTMCSH Kampus Tawau. Beliau yang juga merupakan penerima Anugerah Pentadbir Terbaik (Kumpulan Pelaksana Gred 11 – 28) turut berkongsi pengalaman dan pencapaian yang diperoleh sepanjang berkhidmat di UiTM Cawangan Sabah sejak tahun 2011. Seterusnya, rombongan lawatan telah dibawa melawat ke Makmal Fizik, Makmal Biologi dan Makmal Kimia bagi melihat sendiri persekitaran ruangan pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan pelaksanaan amali pelajar Pra Diploma Sains.

Adalah diharapkan, pengalaman yang diperoleh hasil lawatan ini akan menjadi titik tolak kepada kedua-dua pihak KOMSAT, UiTMCSH Kampus Kota Kinabalu dan Unit Makmal Sains, UiTMCSH Kampus Tawau dalam mentransformasi kecekapan dan keberkesanaan kualiti pengurusan dan keselamatan makmal agar persekitaran makmal yang lebih kondusif dan selamat digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.