Lawatan Panel Penasihat Industri Bagi Program Diploma Kejuruteraan Awam (CEEC110) UiTM Cawangan Pulau Pinang

PERMATANG PAUH, 16 Mei 2024 – Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA), UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menerima lawatan panel penasihat industri bagi program Diploma Kejuruteraan Awam (CEEC110). 

Program ini adalah salah satu aktiviti tahunan yang melibatkan pensyarah Diploma Kejuruteraan Awam (CEEC110) bersama panel penasihat industri yang telah dilantik oleh PKA seiring dengan ketetapan yang diberikan oleh Engineering Technology Accreditation Council (ETAC), Board of Engineer (BEM) Malaysia.  

Empat orang jurutera professional yang telah dilantik oleh PKA sebagai panel penasihat industri telah dijemput bagi menjayakan program ini. Panel tersebut adalah; Ir. Ts. Mohd Shahneezam Abd Rahman (Jurutera Daerah Sik, JKR Kedah), Ir. Dr. Hj. Azlan Othman (Pengarah Ekeskutif, Ilham Jurutera Sdn. Bhd.) , Ir. Ts. Noor Azizah Md. Taha (Penolong Pegurus, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang)  dan Ir. Ts. Nik Mohd Nadzri Nik Mustapha (Jurutera Awam, Bahagian Reka Bentuk Struktur Awam dan Struktur, JKR Kedah).  

Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah bagi  mendapatkan maklum balas daripada setiap panel berkenaan pernyataan dan pemetaan Program Outcome (PO) baru yang diguna pakai berdasarkan ETAC Standard 2024, GAPC2021 dan SDG. Satu sesi lawatan makmal telah diadakan bagi melihat fasiliti sedia ada di makmal-makmal PKA dalam menjalankan aktiviti pelajaran dan pembelajaran. Pada sebelah petang pula, satu sesi pembentangan diadakan bagi membincangkan kesesuaian kandungan silibus setiap subjek untuk disemak agar selaras dengan keperluan di pihak industri bagi keperluan semakan kurikulum pada tahun 2025.    

Hasil dapatan dari pihak industri selepas program ini dilihat dapat memberi impak yang tinggi kepada kelangsungan program CEEC110 dan ia adalah satu praktis yang penting bagi memastikan kebolehpasaran graduan dalam industri kejuruteraan awam pada masa kini sentiasa mendapat permintaan yang tinggi. Lawatan ini ditamatkan pada pukul 5:00 petang dengan sesi penyampaian cenderahati kepada semua panel industri. 

Penulis bersama: Nurjuhannah Juhari, Mohd Samsudin Abdul Hamid, Juhaizad Ahmad