Simposium Kerjaya: Cabaran dan Peluang Kerjaya Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti Anjuran KAB

Shah Alam, 20 Jun 2024 – Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti baru-baru ini telah menganjurkan Simposium Kerjaya: Cabaran dan Peluang Kerjaya Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti bertempat di Kompleks Tahir Majid, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Program ini diadakan sempena Ulang Tahun ke-22 Program Pengurusan Taman dan Ameniti serta Sambutan Ulang Tahun ke-25 UiTM sebagai sebuah universiti.

Simposium ini telah menghimpunkan lebih 400 peserta yang terdiri daripada pelajar, alumni, dan wakil industri serta komuniti. Antara objektif utama penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan peluang kerjaya pengurusan taman di Malaysia. Selain itu juga, program ini bertujuan mengetengahkan bidang Pengurusan Taman dan Ameniti kepada industri dan komuniti serta membina jaringan yang lebih erat antara universiti, alumni, dan sektor profesional.

Program ini telah dirasmikan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar Kolej Pengajian Alam Bina Sr. Dr. Ahmad Shazrin Mohamed Azmi dan forum dimulakan dengan sesi utama bertajuk ‘Bidang Kerjaya Pengurusan Taman’ yang membincangkan perspektif berkenaan cabaran dan peluang kerjaya dalam sektor pengurusan taman di Malaysia. Para panel terdiri daripada Encik Haidar Khan Makbolhasan, Pengarah Bahagian Rekreasi Alam Semulajadi, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN); Encik Abu Zahrim Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Encik Mohd. Yussainy Md Yusop, Pengarah Forest Eco-Park & Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengupas lanjut akan latar belakang agensi masing-masing serta membincangkan prospek kerjaya yang berkaitan dengan bidang pengajian para pelajar.

Seterusnya, pada sesi petang telah disusun 3 sesi forum secara selari yang berjalan serentak. Forum A yang bertajuk ‘Penglibatan Komuniti dalam Usaha Pemuliharaan Kawasan Perlindungan’, menampilkan perkongsian oleh Dr. Mohd Salleh Daim, Pakar Pemuliharaan, Pengurusan dan Ekopelancongan berasaskan Komuniti; Tuan Haji Ady Ermanty Haniff bin Mohamed Hanif, Pengarah Insitut Biodiversiti PERHILITAN; Dr. Noor Azlin Yahya, Presiden MyParks dan Encik Arif Ahmad, Benus Bird Camp merangkap wakil Komuniti Kampung Gol, Jerantut, Pahang. Penyertaan organisasi kerajaan, bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pengurusan Taman, Ameniti dan Rekreasi Malaysia (MyParks) dan komuniti menambah lagi dimensi perkongsian dengan tumpuan kepada pengurusan taman di peringkat komuniti. Salah satu sesi yang menarik perhatian peserta adalah perkongsian daripada Encik Arif Ahmad yang menceritakan tentang program pemuliharaan spesies Resing (Labi-labi atau Asian Giant Softshell Turtle) di Pusat Konservasi Resing Kg. Gol, yang dilaksanakan bersama Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti UiTM di mana projek ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga membuka peluang ekopelancongan yang menguntungkan dalam kalangan masyarakat setempat.

Forum B pula membincangkan tajuk ‘Dari Kampus ke Industri: Kisah Kejayaan Alumni dalam Dunia Profesional’, yang melibatkan perkongsian bidang kerjaya pengurusan taman di dalam agensi kerajaan. Panel alumni yang dijemput untuk berkongsi pengalaman adalah Encik Mohd. Khairul Affzan Che Arsad dari RISDA Semaian dan Landskap Sdn. Bhd.; Encik Muhammad Ifwat Zulkifly, Penolong Pegawai Pertanian di Majlis Bandaraya Kuantan serta Cik Alya Syaheera Amran, Penolong Pengarah Landskap di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Panel-panel ini memberikan pandangan dan tips berguna mengenai langkah-langkah memulakan dan membangunkan kerjaya dalam bidang Pengurusan Taman.

Seterusnya, Forum C yang bertajuk ‘Menginspirasi Kejayaan: Alumni dalam Dunia Keusahawanan’, melibatkan panel alumni yang terlibat dalam keusahawanan berkaitan bidang pengurusan taman. Panel alumni yang hadir ialah Encik Mohamad Anas Zainuddin selaku Pengarah Urusan TN Nature Outdoor Sdn. Bhd. dan juga Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara Pahang; Puan Aliza Johan dari AJ Turf Consultancy; dan Encik Nik Zaiman Peei dari Bens Maju Services. Ketiga-tiga panel ini telah berkongsi perspektif dan pengalaman mereka yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Koordinator Bidang Pengurusan Taman dan Ameniti, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Shah Alam, Puan Siti Noorbaizura dalam ucapan penutupnya, menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan simposium ini dan menegaskan betapa pentingnya kolaborasi antara universiti, industri, dan komuniti dalam membangunkan sektor Pengurusan Taman dan Ameniti. “Simposium ini bukan sahaja membuka mata pelajar tentang peluang kerjaya, tetapi juga mengukuhkan hubungan di antara UiTM dan pelbagai pihak luar,” katanya. Simposium yang berlangsung dengan jayanya ini diharapkan dapat terus menjadi platform untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan membuka peluang kerjaya dalam bidang yang semakin berkembang ini.

 

Mazzueen Md. Khalid, Mas Aiyu Jamaludin, Siti Noorbaizura Bookhari & Siti Zubaidah Mat Tahir