Suri Décor Dedahkan Pelajar Kepada Dunia Industri Perabot

12 Jun 2024 – Sekumpulan pelajar seramai 17 orang dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kedah telah menjalankan sebuah program lawatan akademik yang dinamakan Collaborative Teaching IDT267 dan IDT317 Furniture Workshop: Prototyping & Model Making Sharing bersama industri perobot Suri Décor di Ipoh, Perak. Program ini di bawah penyeliaan dan pengawasan oleh tiga orang pensyarah iaitu Puan Fadila Mohd Yusof sebagai ketua, bersama Puan Norarifah Ali dan Encik Abu Hanifa Ab. Hamid.

Seawal 7.30 pagi, kesemua pelajar dan pensyarah telah berkumpul di depoh bas UiTM Cawangan Kedah untuk memulakan perjalanan. Kesemua pelajar terlibat adalah dari program Diploma Seni Reka Perindustrian dengan pengkhususan dalam reka bentuk perabot.

Perjalanan dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Zulsyahmi, diikuti perjalanan selama empat jam ke Ipoh dengan satu hentian rehat di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Merah. Setiap pelajar turut menerima elaun sebanyak RM16.00 daripada Tabung Amanah Pembangunan Akademik UiTM bagi menampung perbelanjaan sepanjang program. Rombongan tiba di Suri Décor di Ipoh, Perak tepat pukul 12.00 tengahari.

Program diteruskan dengan sesi pengenalan dan slot 1, yang bertajuk peranan dalam pembuatan perabot dari perspektif industri, disampaikan oleh pemilik Suri Décor, Encik Ridzuan dan Puan Suri. Pada pukul 3.00 petang, sesi kedua berlangsung dengan aktiviti praktikal teknik kemasan yang dikendalikan oleh kakitangan Suri Décor.

Program ini sangat bermanfaat kepada pelajar kerana mereka berpeluang untuk mengenali secara langsung industri perabot serta menimba ilmu daripada individu yang berpengalaman dalam bidang ini. Suri Décor, yang terkenal dengan penggunaan kayu jati serta kayu tempatan lain, memberikan pendedahan yang berguna untuk meningkatkan motivasi dan visi pelajar dalam membina kerjaya mereka.

Program tamat pada pukul 4.00 petang, dan rombongan pulang ke UiTM Cawangan Kedah pada pukul 7.30 malam. Ucapan terima kasih diberikan kepada Encik Faiz atas khidmat pemanduan yang cemerlang sepanjang program ini.

Kesimpulannya, lawatan ini memberikan manfaat yang besar kepada pelajar, bukan sahaja dalam meningkatkan pemahaman mereka terhadap teori dan praktikal dalam reka bentuk perabot, tetapi juga dalam membuka peluang kerjaya pada masa hadapan. Pendedahan secara langsung kepada proses pembuatan dan teknik kemasan yang diterapkan oleh Suri Décor membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan, yang boleh mereka aplikasikan dalam projek akademik serta dalam kerjaya mereka sebagai pereka perabot profesional kelak.

Penulis:
Fadila Mohd Yusof
Norarifah Ali
Abu Hanifa Ab. Hamid