Perbincangan Kolaborasi KPPIM UiTM Pahang Bersama UMPSA, PPD Maran, dan PERSAMA

Maran, 27 Mei 2024 – Kekurangan pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah menjadi antara punca kemerosotan kemasukan pelajar dalam program jurusan Sains pada peringkat universiti. Menurut Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose sebagaimana yang dilaporkan di dalam paparan akhbar baru-baru ini, berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022, hanya 15.2 peratus calon mengambil Sains Tulen dengan 70 peratus daripadanya gagal, atau memperoleh D dan E dalam subjek Matematik Tambahan. Menurut beliau lagi, bagi sesi tahun 2023/2024 pula, hanya 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara memilih aliran Sains untuk ke Tingkatan Empat. Bilangan ini mencatatkan jumlah paling rendah dalam sejarah dan jauh ketinggalan berbanding dasar 60 peratus yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi pada tahun 1967, yang mana sasarannya adalah dalam memastikan negara mempunyai sumber manusia yang cukup dalam bidang Sains, 60 peratus pelajar sekolah di peringkat sekolah menengah harus mengikuti aliran Sains. Jika isu ini tidak ditangani dengan berkesan, negara dibimbangi kekurangan tenaga kerja professional seperti jurutera, doktor dan sainstis, sekaligus menghalang kemajuan dalam inovasi serta pembangunan teknologi negara.

Justeru itu, dalam usaha untuk membangkitkan semangat dan minat pelajar ke arah jurusan Sains terutamanya dalam subjek Matematik, satu perbincangan mengenai program kolaborasi antara Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang (UCPh), bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), telah diadakan bertempat di PPD Maran. Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Ariffin Ab Rahman, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, dan turut disertai oleh beberapa pegawai daripada sektor dan unit tertentu. Delegasi KPPIM UCPh diwakili oleh Ketua Pusat Pengajian KPPIM UCPh iaitu Dr. Juhaida Ismail, Dr. Noor Amalina Nisa Ariffin, Pn. Nazihah Ismail, dan Pn. Rozeleenda Abdul Rahman. Manakala UMPSA telah diwakili oleh Ketua Program (Asasi Sains & Teknologi) UMPSA iaitu Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd Kasim, dan Dr. Nadhirah Mohd Nasir. Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd Kasim turut bertindak sebagai wakil kepada Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA).

Perbincangan ini telah berlangsung dengan baik selama 2 jam, dan tujuan utama adalah untuk membincangkan berkenaan penganjuran sebuah program khidmat masyarakat kepada sekolah-sekolah menengah seluruh Daerah Maran yang mampu untuk memberikan impak positif dalam memupuk minat para pelajar terhadap subjek Matematik. Objektif program khidmat masyarakat ini bukan sahaja sebagai ikhtiar daripada semua pihak dalam menangani kemerosotan minat pelajar ke arah subjek Matematik, tetapi juga memperlihatkan peranan institusi pengajian tinggi yang tidak hanya menjadi tempat pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan terutamanya dalam membantu meningkatkan mutu pendidikan masyarakat, khususnya di luar bandar. Semoga inisiatif melalui program khidmat masyarakat ini berjaya dilaksanakan dan mencapai objektifnya, dan seterusnya mengangkat institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja berperanan penting dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, tetapi juga sebagai penggerak perubahan positif kepada sekolah, masyarakat dan komuniti.