Program Bengkel Pembinaan Games Interaktif: Bermain & Belajar

UiTM Jengka, 20 Julai 2024: Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Pahang baru-baru ini telah menganjurkan satu Bengkel Pembinaan Permainan Interaktif: Belajar dan Bermain yang menggunakan aplikasi “Buildbox Apps” bagi menarik minat  pelajar.. Program ini bertujuan untuk melatih para graduan atau bakal guru dari Indonesia yang sedang mengikuti pengajian di Universitas Negeri Malang. Program ini mendapat sambutan yang amat positif dari peserta yang terlibat, masing-masing menunjukkan kemampuan dan minat mereka menggunakan aplikasi “Buildbox Apps”.

Profesor Madya Dr. Norhapizah Mohd Borhan, selaku Koordinator Prasiswazah ACIS UiTM Cawangan Pahang, menyatakan bahawa “penggunaan aplikasi permainan “Buildbox Apps” ini sangat menarik dan mampu untuk menarik minat para pelajar khususnya Gen-Y dan Gen-Z kerana golongan ini mudah terdedah dengan permainan komputer dan mereka cepat menguasai aplikasi-aplikasi yang ada dalam computer..  Beliau turut menekankan bahawa pendekatan ini tidak hanya menarik minat pelajar tetapi juga membantu mereka memahami konsep-konsep yang diajar dengan lebih mendalam dan interaktif”.

Salah seorang peserta dari Universitas Malang Indonesia, Falinda Risqi Zulfanani, yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Pengajian Perguruan, berkongsi “Pembinaan Aplikasi permainan sambil belajar ini tidak hanya menyeronokkan tetapi juga membantu saya memahami topik-topik sebelum ini yang kurang difahami secara mendalam,” katanya. Beliau juga menyatakan bahawa permainan interaktif ini mampu memberi motivasi dan keseronokan kepada para pelajar sewaktu berada di dalam kelas.

Profesor Madya Dr. Tengku Intan SuzilaTengku Sharif dari Pusat Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang turut berpendapat bahawa reaksi pelajar terhadap aplikasi ini sangat menggalakkan. “Saya melihat program permainan interaktif ini mampu meningkatkan minat para pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kerana ia sangat bertepatan dengan jiwa para pelajar zaman sekarang yang suka belajar menggunakan gadjet,” katanya dengan penuh keyakinan.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Pahang untuk mengintegrasikan teknologi dalam proses pembelajaran untuk memastikan bahawa pembelajaran interaktif ini mampu menarik minat pelajar dari pelbagai latar belakang.  Diharap program ini memberi impak yang mendalam kepada peserta, meningkatkan kemahiran teknologi mereka, meningkatkan kualiti pendidikan dan memupuk kreativiti dan inovasi. Dengan menyumbang kepada beberapa SDG dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa, program ini telah meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan pendidikan yang mampan. Melangkah ke hadapan, adalah penting untuk terus menyokong inisiatif sebegini bagi memastikan manfaat dimaksimumkan dan lebih ramai pendidik serta pelajar boleh meraih ganjaran daripada pendekatan pembelajaran yang inovatif ini.

Program ini melibatkan Prof. Madya Dr. Norhapizah Mohd Burhan, selaku Koordinator Pra-Siswazah ACIS, UiTM Pahang, Prof. Madya Dr. Tengku Intan Suzila Bt. Tengku Sharif, selaku Pengarah Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa, Encik Ahmad Zaki Bin Mohamad Amin, Pensyarah di Jabatan Matematik, Pusat Asasi Universiti Malaya selaku penceramah, Nurshahira Ibrahim selaku Pengarah Program dan Jawatankuasa pelaksana bagi menjayakan program ini.