“Knowledge Sharing: Sunnah di Bulan Syawal” & Jamuan Hari Raya Aidilfitri KPPIM UCPh Kampus Jengka

Jengka, 3 Mei 2024 – Amalan perkongsian ilmu adalah amat penting dalam sesebuah organisasi. Perkongsian ilmu juga dapat memindahkan pengetahuan daripada satu individu kepada individu lain, yang bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan, kecekapan, produktiviti, malah turut menyumbang kepada tambah nilai pembangunan insan. Sehubungan dengan itu, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) Kampus Jengka telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program perkongsian ilmu, disamping program Jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama seluruh ahli pusat pengajian.

Bertempat di Anjung Khazanah Alam dan bermula tepat pada pukul 10 pagi, program ini adalah bertujuan untuk menyediakan ruang dan peluang kepada pembangunan jati diri dan keperibadian ahli pusat pengajian, seterusnya meraikan kemeriahan bulan Syawal yang masih berbaki. Tuan Haji Roslan Jamaludin, Pensyarah Kanan daripada Pengajian Sains Pengkomputeran, telah dijemput sebagai Penceramah Jemputan, manakala Puan Amirah Hana Mohamed Nor, Pensyarah Kanan daripada Pengajian Sains Matematik telah bertindak sebagai moderator program. Selain daripada berkongsi perkara-perkara sunnah yang digalakkan di bulan Syawal, Tuan Haji Roslan Jamaludin turut membincangkan tentang amalan-amalan tertentu dan saranan berpandukan hadis yang dapat dijadikan amalan dan panduan. Perkongsian rohani seperti ini semestinya mampu menambah baik niat dan keperibadian seseorang yang sedikit sebanyak menyumbang kepada kualiti di tempat kerja.

Program ini telah berlangsung selama 2 jam 30 minit, dan telah menerima maklumbalas yang menggalakkan daripada hadirin yang hadir. Program ini diyakini mampu memberi impak yang sangat positif dan merupakan perkongsian dan pertemuan yang sangat bermanfaat kepada para pensyarah KPPIM UCPh Kampus Jengka, khususnya dalam menambah ilmu pengetahuan dan mengeratkan silaturahim sesama rakan sefakulti. Semoga program seumpama ini akan dapat mencapai matlamat serta objektif yang telah digariskan dan dapat menyumbang kepada pembangunan staf, seterusnya memastikan UiTM Cawangan Pahang melakar kecemerlangan melalui warganya yang mempunyai jati diri yang kukuh, dan berketerampilan.