Bengkel Baseline Strength Assessment : Ilmu Dikongsi Untuk Manfaat Pesakit

PULAU PINANG, 23 Julai 2024 – Pada Isnin dan Selasa 22 dan 23 Julai 2024 telah berlangsung Bengkel Baseline Strength Assessment Series 1, anjuran Program Diploma Fisioterapi UiTM yang diadakan di UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Kampus Bertam.

Objektif program ini adalah untuk memastikan pengetahuan teori dan praktikal ahli fisioterapi di Malaysia mengikut keperluan semasa dan secara tidak langsung membantu ahli fisioterapi di dalam menentukan asas kekuatan beban otot setiap individu yang dirawat . Penentuan beban yang tepat dalam preskripsi senaman kekuatan sangat penting untuk keberkesanan rawatan serta keselamatan pesakit. Bengkel seperti ini dapat membina kerjasama dan jaringan baik antara staf Program Fisioterapi UiTM dan ahli fisioterapi di Malaysia, sekaligus membantu mempromosikan Program Diploma Fisioterapi UiTM kepada pihak luar.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Muhammad Nabil Fikri bin Roslan selaku Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam. Penceramah bengkel ini adalah Penyelaras Program Diploma Fisioterapi UiTM  Cawangan Pulau Pinang iaitu Tuan Haji Bahman bin Jamaluddin yang  mempunyai kepakaran di dalam bidang preskripsi senaman dan senaman klinikal. Bengkel ini telah dihadiri oleh 24 orang peserta yang terdiri daripada ahli fisioterapi di pelbagai institusi termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia, pusat rehabilitasi swasta dan institut pengajian tinggi awam selain UiTM.  Bengkel selama dua hari ini merangkumi sesi teori dan praktikal untuk memantapkan lagi kefahaman para peserta.

Kekerapan untuk ahli fisioterapi menggunakan kemahiran asas dalam menentukan bebanan untuk senaman kekuatan (baseline strength asessment) pada masa kini amat rendah. Oleh itu Program Fisioterapi, UiTMCPP Kampus Bertam mengambil inisiatif untuk memurnikan  kembali penggunaan kemahiran ini dalam kalangan ahli fisioterapi sekaligus menyemarakkan lagi perpindahan dan perkongsian ilmu.

Baseline strength assessment ini penting bertujuan untuk menentukan bebanan yang optimum mengikut  tahap keupayaan pesakit. Sekaligus ianya akan menyumbang kepada keberkesanan rawatan kepada pesakit. Diharapkan bengkel seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana banyak manfaat yang diperolehi peserta sekaligus membantu dalam penjanaan pendapatan kepada pihak UiTM sekaligus memperkukuhkan jalinan sosial antara institusi pengajian tinggi dan ahli fisioterapi luar.