Program Mobiliti Staf dan Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang: UiTM x UNP Summer Course

PADANG, 6 JULAI 2024 – Program Mobiliti Staf dan Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang yang diberi nama ‘UiTM x UNP Summer Course’ telah berlangsung dengan jayanya di Universitas Negeri Padang, Indonesia. Program yang diadakan dari 28 Jun hingga 6 Julai 2024 ini melibatkan 32 pelajar dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan serta Kolej Pengajian Kejuruteraan Kimia, serta diiringi oleh empat orang pensyarah yang berdedikasi.

Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kepelbagaian budaya dan kehidupan masyarakat tempatan, sambil menyokong inisiatif pengantarabangsaan UiTM Cawangan Pulau Pinang, sejajar dengan pelan perancangan strategik kampus. Sepanjang program berlangsung, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang dengan teliti untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap budaya dan masyarakat Minangkabau serta meningkatkan profesionalisme mereka dalam menghadapi cabaran masa depan. Program ini juga berfungsi sebagai projek rintis bagi menjalin kerjasama yang lebih erat antara UiTM dan Universitas Negeri Padang, dengan tujuan untuk memenuhi beberapa penunjuk prestasi utama (PI) UiTM demi mencapai aspirasi GRU2025: Globally Renowned University, Locally Rooted.

Salah satu aktiviti utama ialah sesi perbincangan antara delegasi UiTM dan pensyarah Universitas Negeri Padang. Sesi ini membincangkan pelbagai bentuk kolaborasi seperti pengajaran kolaboratif, penyelidikan, penerbitan, program tanggungjawab sosial antarabangsa, dan program mobiliti staf dan pelajar. Ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua universiti.

Selain itu, peserta program berpeluang untuk berkongsi dan belajar mengenai masakan tradisional suku Minangkabau dan masakan Malaysia. Aktiviti ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan mereka tentang seni kulinari tetapi juga menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai budaya masing-masing.

Para peserta turut terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial dan khidmat masyarakat. Mereka melakukan aktiviti ‘plogging’ dan pembersihan kawasan pantai Air Manis, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Pertukaran budaya adalah salah satu aktiviti yang dinanti-nantikan. Para peserta berpeluang menyaksikan dan mengambil bahagian dalam tarian tradisional seperti Tari Pasambahan, Tari Piring, dan tarian tradisional Melayu. Selain itu, mereka turut mencuba mencanting batik khas Minangkabau iaitu ‘Batik Tanah Liek’ serta mempelajari adat dan budaya Minangkabau dan Melayu.

Para peserta turut melawat industri kecil sederhana yang terlibat dalam katering dan pembuatan makanan serta Hotel Butik Savali. Lawatan ini memberikan mereka pandangan yang lebih mendalam mengenai operasi industri perhotelan dan katering di Indonesia.

Lawatan ke Mandeh adalah satu lagi aktiviti menarik yang dijalankan. Para peserta didedahkan kepada usaha-usaha pemeliharaan alam sekitar yang dijalankan di kawasan tersebut, yang menekankan pentingnya menjaga dan melestarikan alam semulajadi.

Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif utamanya, tetapi juga memberikan pengalaman berharga kepada para peserta. Mereka tidak hanya memperoleh pengetahuan baru dan mempertingkatkan kemahiran profesionalisme mereka, tetapi juga membantu memenuhi beberapa penunjuk prestasi utama (PI) UiTM. Dengan kejayaan program ini, diharapkan hubungan antara UiTM dan Universitas Negeri Padang akan terus kukuh dan membawa kepada lebih banyak kerjasama di masa hadapan. Program ini juga membuktikan komitmen UiTM dalam mempromosikan nilai-nilai kepelbagaian budaya dan kepentingan tanggungjawab sosial di kalangan pelajar.

Penulis: Muhammad ‘Arif Aizat Bin Bashir, Nur’Hidayah Che Ahmat, Nor Khadijah Mohd Azhari, Nik Mohd Shahril Nik Mohd Nor