FSK UiTM Pulau Pinang Santuni Komuniti Pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti melalui Program “OT STAY FIT”

KEPALA BATAS , 22 JUN 2024 (SABTU) – Mahasiswa Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah mengadakan Program “OT STAY FIT” bersama komuniti pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Paya Keladi, Pulau Pinang. Kali ini, seramai 65 orang mahasiswa UiTM, 10 orang pelatih, dan 5 orang petugas dari PPDK Paya Keladi telah melibatkan diri dalam program ini. Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk mempromosikan penjagaan kesihatan melalui sesi ceramah, senaman khas, dan pengurusan stres bagi menarik minat komuniti sekitar untuk cakna akan penjagaan kesihatan dan kecergasan diri. Ini juga bertujuan untuk mewujudkan komuniti yang sedar akan kepentingan amalan gaya hidup aktif serta meningkatkan penglibatan komuniti dalam aktiviti sukan dan rekreasi. Selain dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat, program ini dapat menjadi platform yang jelas dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan dari segi fizikal dan jasmani.

Adapun, Program “OT STAY FIT” ini telah disempurnakan oleh Ts. Dr Mohamad Azhar bin Mohd Noor, Penolong Rektor, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam. Antara pengisian ilmu yang dijalankan adalah melalui siri ceramah yang bertajuk “Jaga Kesihatan Dengan Senaman” yang telah disampaikan oleh Encik Mohamad Hafiz bin Abu Seman, Pensyarah Fisioterapi, UiTM Kampus Bertam. Disamping itu juga sesi Teknik Bebas Emosi juga dijalankan oleh Puan Siti Salwa binti Talib untuk para petugas PPDK sebagai satu teknik dalam pengurusan stres. Program ini turut dihadiri oleh barisan pentadbir dan pensyarah akademik termasuklah Penyelaras Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Puan Norsyaqina binti Shamsudin, pensyarah-pensyarah UiTM, pegawai Pemulihan Perubatan Cara Kerja, penyelia PDK, petugas-petugas PDK serta pelatih-pelatih. Di samping itu, aktiviti zumba juga diadakan sebagai satu bentuk senaman yang menyeronokkan bagi menarik minat masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian dengan lebih produktif.

Menurut Pengarah Program, Nur Lisa binti Afandi, program ini merupakan salah satu inisiatif fakulti dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan kunjung bantu kepada masyarakat sekitar yang mampu memberikan impak positif kepada kesihatan masyarakat. Selain itu, ianya merupakan salah satu alternatif untuk meningkatkan interaksi sosial antara mahasiswa dengan komuniti. Tambahan lagi, program ini telah memberikan pendedahan awal bagi mahasiswa bidang Pemulihan Cara Kerja kepada orang kurang upaya (OKU) sebagai persediaan menjalani latihan industri di masa akan datang. Dalam pada itu,  program seumpama ini adalah bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya SDG 3: Good Health and Wellbeing, SDG 4 : Quality Education dan SDG 17: Partnerships for the Goals, dalam menggalakkan kolaborasi ilmu antara pelbagai bidang dengan masyarakat lebih-lebih lagi dalam lapangan kesihatan awam. Adalah diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan agar ianya dapat mencorakkan keperibadian mahasiswa dalam mendepani cabaran kehidupan yang lebih mencabar pada masa akan datang.