Hari Kesihatan Pelajar UiTM

Shah Alam, 27-29 Jun 2024 – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang UiTM Selangor (Kampus Shah Alam) dengan kerjasama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) telah mengadakan Program Hari Kesihatan Pelajar UiTM pada 27 hingga 29 Jun 2024 di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam, Selangor. Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelajar, staf UiTM serta orang ramai yang turut hadir bagi memeriahkan program. Program ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan pendedahan tentang kepentingan menjaga kesihatan diri, serta memupuk sifat kemanusiaan dalam kalangan masyarakat dan ahli persatuan. Fokus program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sekaligus menggalakkan penglibatan sukarela dalam pendermaan darah, membentuk budaya kepedulian dan kebersamaan, serta kesedaran terhadap kesihatan diri.

Program ini merangkumi pelbagai aktiviti kesihatan seperti Kempen Derma Darah, Program Vaksinasi HPV, kaunter pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, dan sesi forum. Lebih daripada 1000 pelajar dan staf menyertai program ini. Kempen Derma Darah berjaya mengumpul sebanyak 156 unit darah, manakala suntikan HPV diberikan kepada 1287 pengunjung. Pemeriksaan kesihatan dan pameran kesihatan mendapat sambutan hebat, dengan ratusan pelajar memeriksa tahap kesihatan mereka dan mendapatkan maklumat tentang gaya hidup sihat. Sesi forum menarik perhatian ramai dengan topik-topik menarik yang dibincangkan oleh panel-panel jemputan iaitu En. Ally Iskandar dan Dr. Nuraqmal Aqilah.

Menurut Dr. Shairul’azam bin Sahar, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, “Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pusat Kesihatan UiTM Shah Alam, HTAR dan BSMM Cabang UiTM Selangor (Kampus Shah Alam) kerana telah menjayakan Program Hari Kesihatan Pelajar ini. Sambutan yang diterima amat memuaskan dan saya berharap program ini telah memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk cakna terhadap kesihatan dan membudayakan cara hidup sihat sepanjang hayat”. Program Hari Kesihatan Pelajar UiTM ini merupakan salah satu inisiatif UiTM dalam memastikan kesejahteraan pelajarnya terjamin. Universiti akan terus menganjurkan program-program yang berfaedah bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan komuniti kampus sentiasa terpelihara.