Koloborasi UiTM dan ANM Lancar Program Eksplorasi Arkib: Pengurusan Rekod di Malaysia

PUNCAK PERDANA, Khamis, 6 Jun 2024 – Program Eksplorasi Arkib: Pengurusan Rekod di Malaysia telah berjaya dianjurkan oleh para pelajar peringkat Sarjana Pengurusan Maklumat (CDIM770), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM). Program yang dipenuhi pelbagai aktiviti ini telah berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Kampus Puncak Perdana.

Program dimulakan dengan ceramah oleh Puan Kaszilawati binti Kasman, Ketua Seksyen Konsultansi dan Latihan, ANM, menekankan kepentingan pengurusan rekod dan pemuliharaan dokumen bersejarah sebagai warisan negara. Kandungan ceramah telah menarik perhatian peserta dengan perkongsian Puan Kaszilawati mengenai hala tuju bidang pengurusan rekod di Malaysia. Program diteruskan dengan demonstrasi pemuliharaan dokumen oleh kakitangan ANM yang menunjukkan teknik awet dan jilid dokumen yang bernilai. Demonstrasi ini mendapat sambutan yang baik di kalangan para peserta yang turut diberi peluang untuk mencuba beberapa teknik pemuliharaan tersebut. 

Selain daripada itu, aktiviti pameran yang diadakan oleh ANM turut mendapat sambutan di kalangan peserta. Pameran bertajuk Pengurusan Rekod: Seiring Perubahan Masa memaparkan sejarah awal dan program pengurusan rekod di Malaysia serta penerapan budaya kerja persekitaran elektronik. Penasihat Program, Dr. Haslinda Husaini, memuji usaha pelajar Kursus Advokasi Pemasaran dan Promosi dalam Organisasi Maklumat (MLS793) di peringkat Sarjana dalam menganjurkan program ini. Beliau percaya program dan aktiviti serta bengkel akan membantu pelajar-pelajar lebih peka berkenan pengurusan rekod di Malaysia.  Ia  juga membina hubungan antara universiti dan industri dalam usaha mempromosikan literasi maklumat dan pengetahuan pengurusan rekod di kalangan pelajar.

Menurut peserta pelajar CDIM261, Amira Syafikah, program ini menyajikan aktiviti yang bermanfaat seperti demonstrasi pemuliharaan rekod yang mana ia memberikan pengalaman serta kesedaran tentang kepentingan memelihara rekod. Tambahan, pensyarah kanan Pn. Aniza binti Jamaludin berkata, demonstrasi sebegini amat membantu pelajar dalam memahami proses pemuliharaan dokumen dengan lebih efektif. 

Seramai hampir 200 peserta telah hadir untuk menyertai program yang telah berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Melalui inisiatif ini pelajar sarjana terlibat diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan mengetahui bagaimana ilmu yang diperolehi di dalam kelas dapat diterapkan serta meningkatkan taraf kesedaran komuniti. Aktiviti ini turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari keempat dan kesebelas iaitu Pendidikan berkualiti dan bandar dan komuniti lestari. Ia juga selaras dengan visi Malaysia Madani.

Penulis: Muhammad Nabil bin Mahadi, Dr. Haslinda Husaini dan KPPIM News Team