Karnival Jom Masuk U Zon Sabah II Dan Perasmian Penutupan JMU 2024 Di UiTM Cawangan Sabah

KOTA KINABALU, 8 & 9 Jun 2024 – Karnival Jom Masuk U 2024 (JMU2024) telah berlangsung bermula 4 Mei 2024 dengan siri jelajah ke-10 zon di seluruh negara.  Pada kali ini, Universiti Teknologi MARA telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi sesi pembukaan dan penutupan JMU2024.  Karnival ini merupakan program kerjasama antara IPT dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan maklumat yang lengkap kepada pelajar berkenaan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Karnival ini juga menggalakkan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, seterusnya menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan kadar enrolmen pelajar ke IPT.

Karnival dua hari anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan dihoskan oleh Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu menyediakan 58 reruai pempamer yang terdiri daripada Universiti/Institusi Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan Agensi Kerajaan dan terbuka kepada semua serta menerima kunjungan dari pelajar-pelajar sekolah dan ibu-bapa. Pada kali ini, kehadiran pengunjung yang amat memberangsangkan dengan lebih 10,000 pengunjung menunjukkan minat yang tinggi dari pelajar, calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ibu bapa/penjaga bersama sama untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang pendidikan tinggi di Malaysia.

Majlis Perasmian Penutupan Jom Masuk U 2024 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Tun Mustapha, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.  Turut sama hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Tahniah juga diucapkan kepada semua jawatankuasa yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan Majlis Perasmian Penutupan Jom Masuk U 2024 berjalan dengan lancar. Dalam memperkasa modal insan dan pembelajaran berterusan. Karnival ini memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar untuk membuat persiapan dalam menuntut ilmu serta peluang membangun komuniti setempat dalam menuntut ilmu untuk digunakan sepanjang hayatnya.  Bak kata pepatah, laut ditimba tidak akan kering – kepandaian sesorang itu tidak akan habis selagi hayat dikandung badan.