Seri Iskandar, 9 Julai 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, telah melancarkan satu inisiatif baharu bertujuan mempromosikan gaya hidup lestari dalam kalangan mahasiswa melalui program “Replas Tuesday”. Program ini diadakan pada 11 dan 17 Jun 2024 di pasar malam kampus sebagai satu pusat pengumpulan pelajar dengan tujuan menggalakkan pelajar sebagai pengunjung untuk mengumpul dan mengitar semula botol plastik.
Dana telah disalurkan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perak untuk peralatan seperti bunting sebagai alat bantu dalam meningkatkan kesedaran. Ahli kelab juga menggunakan barang-barang yang sedia ada seperti bakul dobi IKEA yang mudah dikendalikan demi penggunaan dana yang lebih bijak.
Aktiviti kitar semula ini telah berjaya mendapat sambutan hangat dari mahasiswa dan pengunjung pasar malam. Pada kempen hari pertama, lebih dari 10 beg yang berisi botol plastik berhasil dikumpulkan. Namun, pada kempen hari kedua, hanya 4 beg besar yang digunakan kerana botol plastik telah dihancurkan dan dipadatkan sebelum dimasukkan ke dalam beg. Proses pemampatan plastik ini dilakukan secara interaktif dan melibatkan partisipasi aktif dari pelajar serta anggota kelab. Sehubungan itu, pemampatan plastik adalah kaedah betul yang sepatutnya diaplikasi sebelum membuang botol ke dlm sangkar kitar semula.
Walaupun program kitar semula ini melibatkan pelbagai jenis bahan, namun botol plastik dipilih sebagai fokus utama. Program “Replas Tuesday” dianjurkan oleh Kelab Kampus Lestari (Kekal), sebuah Kelab Kampus Lestari di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, di bawah pengawasan Ts. Dr. Farrah Rina Mohd Roshdi dan Dr. Mayamin Yuhaniz. Hasil kitar semula pertama telah diserahkan kepada ‘Recycle Cage’ UiTM Perak untuk diproses dan dikitar semula, sementara koleksi terakhir telah diserahkan kepada program ‘Trash4Cash’ di luar kampus, tepatnya di kawasan parkir Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT). Walaupun tiada kolaborasi formal telah berlaku dengan Trash4Cash, pendedahan kepada program ini memberi peluang kepada ahli kelab untuk terlibat dalam penjualan hasil kitar semula.
Inisiatif ini tidak hanya membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal di kampus secara keseluruhan, tetapi juga memberikan pengajaran penting kepada mahasiswa tentang keperluan amalan kitar semula yang betul. Melalui program ini, diharapkan para pelajar dapat lebih peka terhadap isu alam sekitar dan menerapkan gaya hidup lestari dalam kehidupan harian mereka.
Program “Replas Tuesday” sejajar dengan imej kampus UiTM Seri Iskandar yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang Kategori Cawangan dalam Anugerah Festival Kelestarian Kampus Hijau UiTM 2023 (FKKH UiTM 2023) yang diumumkan bulan ini. Inisiatif ini juga mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB, khususnya SDG 12: Penggunaan dan Pengurusan Sumber yang Mampan, dengan menitikberatkan amalan kitar semula dan pengurangan pembaziran.